'Bersalin di dunia, berpantang di syurga' - 25 hari bertarung nyawa lawan kanser 'rare', Haridatul Bahiyah pergi selamanya tinggalkan 3 cahaya mata

Iklan

KEHAMILAN sering disambut dengan rasa syukur dan gembira.  Sembilan bulan membawa si kecil di dalam rahim, namun selepas kelahiran, bayi yang dilahirkan tidak sempat menikmati sepenuhnya kehangatan kasih sayang seorang ibu.

Begitulah kisah menyayat hati dilalui Allahyarhamah Haridatul Bahiyah Amsuri yang kini mengundang sebak ramai selepas pemergiannya tular di media sosial.

Iklan
Iklan

 

Disahkan menghidap kanser choriocarcinoma tahap empat iaitu sejenis kanser yang jarang berlaku dan menyerang wanita selepas kehamilan,  takdir ALLAH mengatasi segalanya apabila Haridatul Bahiyah mengalami komplikasi selepas bersalin sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot.

Iklan

"Haridatul Bahiyah binti Amsuri, perjuanganmu menghadapi komplikasi selepas bersalin, pendarahan di kepala serta disahkan menghidap kanser choriocarcinoma tahap 4 benar-benar mengundang sebak. Kau bertahan selama 25 hari menunjukkan betapa kuatnya dirimu melawan ujian yang berat ini.

"Pemergianmu selepas melahirkan, tanpa sempat melihat dan membesarkan bayi yang baru dilahirkan, amat meruntun hati. Engkau pergi dalam keadaan yang sangat mulia. Bersalin di dunia, kemudian ‘berpantang’ di syurga.

Iklan

"Semoga ALLAH menempatkanmu dalam kalangan hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh. Semoga suami, tiga orang anak serta seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi kehilangan ini," titip kakaknya menerusi akaun TikTok Cik Ass 01.

SinarPlus berkesempatan menghubungi suami Allahyarham, Mohd Aminudin Mohamad Subki. Dia berkongsi keadaan Allahyarham yang tidak sedarkan diri pada hari kelahiran anak ketiga mereka pada 15 April lalu.

Jelasnya, Haridatul Bahiyah yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus kedai kesihatan dan kecantikan perlu menjalani pembedahan di kepala selama empat jam di Hospital Selayang.

"Selepas bersalin, isteri saya tidak sedarkan diri. Darah beku dikesan pada bahagian kepala dan pembedahan terpaksa dilakukan.

"Bagaimanapun pakar tidak menemui jumpa pendarahan itu. Tidak lama selepas itu berlaku pula pendarahan di paru-paru, namun ia juga tidak ditemukan," kongsinya.

Dalam luahan di laman sosial, Mohd Aminudin sempat menitipkan rasa kehilangan yang amat mendalam.

Kepiluannya tidak dapat dibendung memikirkan si kecil yang baharu dilahirkan dan dua lagi cahaya mata mereka yang berusia tujuh dan lima tahun.

“Rindu tanpa penghujung itu sangat menyakitkan. Rehatlah wahai bidadariku, sayang sudah tidak sakit lagi.

“Ramai sayangkan awak sayang. Awak memang orang baik.

“Selamat jalan bidadariku menuju ke negeri abadi, aku juga akan myusul apabila sampai masanya nanti.

“Berehatlah sayangku Haridatul Bahiyah Amsuri, aku amat merinduimu. Al-Fatihah,” titipnya.

Kisah pemergian Haridatul Bahiyah meruntun hati warganet. Rata-rata mendoakan agar keluarga tabah menghadapi kehilangan ini terutama cahaya mata yang tidak sempat merasa hangatnya dakapan dan titisan susu ibu.

Rata-rata turut menitipkan doa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

10 info kanser choriocarcinoma: 

Kanser ini sangat jarang berlaku. Di Amerika Syarikat, kadar kes kanser choriocarcinoma  adalah kurang daripada tujuh kes bagi setiap 100,000 kehamilan

Choriocarcinoma juga dikenali sebagai kanser yang merebak dengan cepat dan diklasifikasikan sebagai sejenis kanser yang agresif. Memetik portal kesihatan, Cleveland Clinic berikut 10 info berkaitan kanser jarang jumpa ini:

1-Choriocarcinoma ialah sejenis kanser bersifat agresif yang jarang berlaku. Ia bermula di dalam rahim (uterus).

2-Ia berkembang daripada sel-sel yang pernah membentuk plasenta semasa kehamilan. Kanser ini tergolong dalam kumpulan penyakit yang dikenali sebagai gestational trophoblastic disease (penyakit trofoblastik gestasi atau ringkasnya GTD).

3-Kanser choriocarcinoma kerap berlaku pada wanita yang mengalami kehamilan molar iaitu keadaan apabila sperma dan ovum bersenyawa secara tidak normal lalu membentuk mole hidatidosa.

4-Ia juga boleh berlaku selepas kehamilan ektopik (luar rahim), keguguran atau selepas kehamilan cukup bulan yang berakhir dengan kelahiran bayi.

5-Kanser choriocarcinoma boleh merebak dengan cepat ke bahagian tubuh lain termasuk paru-paru, lapisan otot rahim (uterus), kelenjar limfa, hati atau buah pinggang, otak dan salur darah.

6-Terdapat dua jenis choriocarcinoma. Jenis pertama iaitu choriocarcinoma gestasi  lebih biasa berlaku dan berkembang semasa kehamilan atau tidak lama selepas bersalin.

7-Manakala jenuis kedua, kanser choriocarcinoma bukan gestasi pula boleh berlaku kepada lelaki atau perempuan. Ia merupakan sejenis tumor sel germ (germ cell tumor) yang boleh menjejaskan ovari atau lapisan rahim, tetapi tidak berkaitan dengan plasenta. Bagi lelaki, ia juga boleh berkembang di buah zakar (testis).

8-Sesiapa sahaja wanita yang pernah hamil sama ada keguguran, kehamilan ektopik waima kehamilan cukup bulan boleh menghidap kanser ini. Risiko paling tinggi adalah bagi individu yang pernah mengalami kehamilan molar dan mereka yang hamil di bawah usia 20 tahun atau melebihi 40 tahun

9-Antara simptom kanser choriocarcinoma ialah pendarahan faraj yang tidak normal atau tidak teratur dan sakit pada bahagian pelvis (pinggul bawah).

10-Jika ia sudah merebak ke bahagian lain dalam badan, simptom yang lebih serius boleh muncul. Contohnya, jka merebak ke paru-paru, pesakit akan mengalami batuk atau sesak nafas, jika merebak ke faraj, terdapat pendarahan yang banyak, lelehan tidak normal atau terbentuknya ketulan. Sekiranya ia sudah merebak ke otak, pesakit akan mengalami sakit kepala atau sawan. Perebakan kanser choriocarcinoma ke hati atau buah pinggang boleh mengakibatkan kesakitan pada bahagian abdomen (perut).