AJAL dan maut itu rahsia Tuhan. Siapa sangka, kegembiraan sebuah keluarga menikmati makan tengah hari bersama di ibu kota berakhir dengan tragedi air mata yang merentap empat nyawa sekaligus.
Lebih memilukan, sekeping foto swafoto (selfie) menjadi bingkai memori terakhir yang ditinggalkan buat tatapan keluarga tercinta.
Tragedi menyayat hati yang berlaku di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Bentong pada Ahad itu telah mengorbankan A Halim Hasoon, 55; isterinya, Rozita Buang, 58; anak perempuan mereka, Norbahyah A Halim, 26; serta cucu perempuan yang baru berusia setahun, Nayla Afya Aizat. Kenderaan yang dinaiki mereka remuk sepenuhnya selepas dihempap oleh sebuah treler.
Memetik Sinar Harian, kakak ipar kepada A Halim, Mazura Bakar, 50, memberitahu, foto tersebut dihantar sendiri oleh arwah selepas mereka sekeluarga selesai menikmati hidangan nasi Arab bersama anak bongsu pasangan itu sekitar jam 2.15 petang.
"Adik ipar saya sempat ambil gambar satu keluarga ketika makan bersama dan hantar kepada saya.
"Saya tidak sangka gambar itu menjadi kenangan terakhir mereka," katanya dengan nada sebak ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) pada Isnin.
Menurut Mazura, keluarga berkenaan bertolak dari kediaman mereka di Mempaga, Bera ke Kuala Lumpur pada sebelah pagi tanpa memaklumkan tujuan perjalanan kepada ahli keluarga lain.
Setibanya di sana, Norbahyah sempat menghubungi adik lelakinya yang baru selesai bekerja untuk mengajak makan bersama.
Malah, mereka juga sempat bertemu dengan suami Norbahyah sebelum masing-masing bergerak pulang secara berasingan.
"Adik kepada Norbahyah menaiki motosikal manakala arwah A Halim, isteri, anak serta cucunya pulang menaiki kereta.
"Dalam perjalanan pulang itulah mereka ditimpa kemalangan," ujarnya lagi.
Detik cemas bermula apabila Mazura yang sedang mengaji Al-Quran tiba-tiba dihubungi oleh anak saudaranya yang bertanyakan mengenai satu berita kemalangan yang sedang tular di aplikasi TikTok.
Bagaikan luruh jantung si kakak, panggilan segera dibuat ke Hospital Bentong sebelum disahkan bahawa kesemua ahli keluarga tersayang sudah tiada dan jenazah dibawa ke Unit Forensik Hoshas.
Muat naik status
Jelas Mazura, hubungannya dengan A Halim sangat rapat sejak lelaki itu bujang lagi. Namun, apa yang memberi kesan mendalam adalah beberapa perkongsian aneh oleh isteri arwah, Rozita, di media sosial miliknya sejak kebelakangan ini.
"Ada beberapa status yang dimuat naik (oleh Rozita) seolah-olah berkongsi mengenai kehidupan dan perpisahan.
"Bagaimanapun, kami tidak menyangka perkara seperti ini (kemalangan) akan berlaku," luahnya yang kali terakhir menemui mangsa pada Aidilfitri lalu.
Semua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mempaga 1, Bera selepas selesai proses bedah siasat.
Dalam pada itu, di sebalik duka yang menimpa keluarga ini, terselit amarah dan kekesalan orang ramai apabila punca kemalangan tersebut dipercayai angkara kecuaian manusia. Pemandu treler berusia 40 tahun yang menghempap kenderaan mangsa disahkan positif dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Zaiham Mohd Kahar, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk ujian saringan air kencing sejurus selesai menerima rawatan di hospital untuk tindakan lanjut.
SinarPlus mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.