'Duduk sebelah, tapi tak sempat.' Isteri derita strok pergi selamanya ketika suami sedang solat, hembus nafas terakhir semasa takbir

Iklan

SEBUAH rakaman video litar tertutup (CCTV) yang memaparkan detik-detik perpisahan abadi sepasang suami isteri warga emas kini tular di media sosial, sekali gus mengundang air mata warganet.

Perjalanan cinta suci yang terbina puluhan tahun berakhir dengan menyayat hati apabila isteri menghembuskan nafas terakhir tepat di saat suaminya sedang mengangkat takbirratulihram. Walaupun jasad berada bersebelahan, takdir menentukan si suami tidak sempat menyaksikan detik akhir isteri menutup mata

Iklan
Iklan

Pemergian Allahyarhamah Siti Hamsatun, 74, yang sebelum ini terlantar akibat serangan strok sejak tahun 2023, meninggalkan kesan mendalam buat seluruh ahli keluarga, terutamanya suami tercinta, Suratman, 77.

Iklan

Ketulusan cinta pasangan berkenaan ini dikongsikan oleh cucu mereka, ninaaaaaazli, menerusi satu hantaran di laman sosial Threads.

Melalui perkongsian tersebut, cucunya meluahkan kesedihan melihat kembali rakaman CCTV yang merakamkan detik ibu mereka menyampaikan berita sedih itu kepada datuknya.

Iklan

"Hancur hati tengok CCTV masa ibu beritahu datuk yang nenek dah tak ada. 

"Nenek hembuskan nafas terakhir tepat ketika datuk angkat takbir. Ibu biar datuk habiskan solat dahulu. Habis sahaja beri salam ibu terus beritahu datuk," kongsi Nina.

Mengulas lanjut mengenai keperibadian datuknya, Nina mendedahkan Suratman merupakan seorang suami yang sangat penyayang dan tidak pernah culas dalam melayani isteri dengan penuh kelembutan sehingga ke hujung nyawa.

Malah, ikatan kasih sayang antara mereka begitu utuh sehinggakan pada hari ulang tahun kelahiran Allahyarhamah Siti Hamsatun, Suratman masih gigih merancang dan membuat kejutan istimewa demi melihat senyuman di wajah isteri tercinta.

Pemergian Siti Hamsatun pada 12 Jun lalu itu kini meninggalkan ruang kosong yang amat besar dalam hidup Suratman. 

Sejak kebelakangan ini, dia kelihatan sering diselubungi rasa sugul dan sayu, terutamanya setiap kali matanya tertumpu kepada barangan peribadi peninggalan arwah isteri yang masih tersimpan kemas.

Menurut Nina, datuknya cuba mempamerkan riak wajah yang tenang dan kuat, namun benteng emosinya adakalanya runtuh apabila melihat katil kosong milik isterinya.

"Buat masa sekarang anak-anak masih ada dekat rumah, datuk nampak okey. Tapi bila nampak katil nenek, barang-barang nenek, datuk akan menangis sikit," kongsinya.

Sehingga kini, perkongsian hiba itu telah tular di platform Threads sejak 14 Jun dan berjaya meraih lebih 68,000 reaksi serta ratusan komen daripada warga maya. 

Rata-rata warganet mengekspresikan rasa hiba yang teramat sangat selain menitipkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga.

Ruangan komen turut dihujani dengan doa-doa agar Suratman diberikan ketabahan, kekuatan serta kesabaran yang tinggi dalam menempuh hari-hari mendatang tanpa kelibat bidadarinya, di samping mendoakan agar roh Allahyarhamah Siti Hamsatun ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sumber: Threads