Dua keluarga kini diselubungi duka susulan insiden menyayat hati yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika menjalani latihan membaling grenad di Kem Hobart, Sungai Petani, Kedah pada Selasa.
Memetik Sinar Harian, tragedi yang berlaku kira-kira jam 10.57 pagi itu meragut nyawa Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja dan Prebet Siti Khadijah binti Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Darat menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua anggota tersebut sedang menyertai Latihan Membaling Grenad di bawah Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia sebelum terkena letupan.
Meskipun segera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan kecemasan, mereka disahkan menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital. Jenazah kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Kehilangan mengejut ini turut mendapat perhatian Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman yang menzahirkan rasa dukacita yang mendalam serta menyampaikan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa agar tabah menghadapi ujian berat ini.
Susulan kejadian itu, beliau telah mengarahkan satu siasatan terperinci dilakukan dengan segera bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Pihak TDM turut memberi jaminan akan terus memperkasakan aspek keselamatan latihan dan melaksanakan penambahbaikan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan tersebut, manakala sebarang maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi mereka.