MALANG tidak berbau. Niat murni seorang remaja perempuan berusia 15 tahun untuk meluangkan masa cuti Awal Muharram dengan aktiviti kecergasan bertukar mimpi ngeri apabila cedera parah disamun, dir*g*l ketika joging.
Dalam kejadian yang berlaku di Palekbang, Tumpat, Kelantan Rabu lalu, mangsa bukan sahaja disamun dan r*g*, malah dia dipukul menggunakan sebatang kayu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
Kronologi kejadian
7.00 pagi: Mangsa keluar rumah untuk berjoging bersama adik lelakinya yang berusia 10 tahun di kawasan Palekbang, Tumpat.
Waktu terpisah: Ketika sedang beraktiviti, mangsa terpisah dengan adiknya. Si adik yang menyangka kakak sudah pulang terus melangkah balik ke rumah.
Waktu kejadian: Mangsa yang bersendirian dipercayai telah didatangi suspek, dipukul pada bahagian muka serta kepala menggunakan sebatang kayu, diperkosa dan telefon bimbitnya dilarikan.
11.00 pagi: Selepas kira-kira empat jam hilang, mangsa akhirnya ditemui di dalam kawasan semak berhampiran dalam keadaan cedera parah dan separuh sedar.
Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Tumpat untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar.
Tragedi ini ternyata mengundang pilu kepada seluruh ahli keluarga. Bapa mangsa yang berusia 50 tahun meluahkan rasa luluh apabila melihat sendiri keadaan anak perempuannya cedera parah pada muka, kepala dan badan sewaktu ditemui.
Kesedihan itu turut dikongsi oleh nenek mangsa yang dikenali sebagai Rokiah, 74. Menurutnya, dua beradik berkenaan dipercayai terpisah ketika berjoging apabila cucu lelakinya tidak lagi mampu mengikut langkah kakaknya.
“Kami hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada bapa mangsa sekitar tengah hari yang memaklumkan remaja tersebut ditemui berhampiran kawasan semak,” katanya kepada Sinar Harian.
Mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan dikenali sebagai seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Mohd Khairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga menyebabkan kecederaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Zulazri di talian 011-11486922/ 011-11486922 bagi membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian 1, 2