Sampai ke nafas berakhir menabur jasa, juruukur wanita pertama negara & bekas pensyarah Normah Abdullah derma 5 organ selepas mati otak

Iklan

PEMERGIAN bekas pensyarah dan juruukur wanita pertama negara Normah Abdullah, 72, mengundang pilu ramai selepas mendermakan lima organ selepas disahkan mengalami kematian otak.

Pengorbanan terpuji bekas Pensyarah Kanan Bidang Sains Ukur & Geomatik, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu dikongsikan menerusi video tular di laman sosial Hospital Sungai Buloh.

Iklan
Iklan

"Satu penghormatan buat seorang wanita yang sungguh luar biasa Allahyarhamah Normah. Komitmen mulia beliau yang telah berikrar sebagai penderma organ akhirnya ditunaikan dengan penuh amanah oleh anak-anak tercinta, selepas beliau diisytiharkan mengalami kematian otak.

Iklan

"Pada 21 Jun 2026, hasrat murni ini terlaksana. Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit," titipnya.

Menurutnya, kes pemerolehan ini turut melakar sejarah baharu dalam kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Iklan

"Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu bersama Pasukan Pembedahan Hepatobiliari dari Universiti Malaya (UM) yang turun padang demi menjayakan usaha murni ini," titipnya.

Dalam masa yang sama pihak hospital mengucapkan  terima kasih dan takziah buat keluarga dan.

"Kepada seluruh ahli keluarga penderma, jutaan terima kasih atas kurniaan yang tidak ternilai ini. Semoga segala budi, jasa, dan pengorbanan arwah diangkat darjatnya di sisi pencipta. Beliau telah memberi sinar baharu ketika di jemput kembali ke rahmatullah.

"Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bersemadi dengan tenang di sana," kongsinya.

Sementara itu, UiTM dalam hantaran di Facebook menitipkan ucapan penghargaan dan takziah di atas pemergian mantan pensyarah kanannya, Allahyarham Normah, yang telah mendermakan organ dan tisu kepada lima individu yang memerlukan.

"Satu hantaran penghargaan buat Allahyarham Normah mantan pensyarah kanan Fakulti Alam Bina UiTM yang telah mendermakan organ dan tisu buat lima insan yang memerlukan pada 21 Jun 2026.

"Sekalung penghargaan buat ahli keluarga arwah atas keredaan dan seluruh pasukan pakar bedah dari Hospital Sungai Buloh dan Universiti Malaya yang bertungkus-lumus menjayakan misi murni ini.

"Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah," tulisnya.

Sumber: Facebook