KEHILANGAN anak sekelip mata cukup menyayat hati. Kisah duka yang menimpa Allahyarham Nur Dhia An-Nuha Hapizam, 16, pelajar Tingkatan 4 di SMK Seri Bera yang dimuat naik oleh bapanya tular sehingga 2,300 perkongsian meruntun hati warga maya.
Bukan untuk meratapi takdir, sebaliknya demi memberi info kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyakit leukemia akut.
Lebih menyayat hati, Nur Dhia disahkan meninggal dunia selepas hanya dua hari dirawat di hospital.
Petanda disangka biasa
Sebelum ini, Allahyarham Nur Dhia dikenali sebagai seorang remaja yang sihat, aktif dalam aktiviti sekolah dan tidak memiliki sebarang sejarah penyakit kronik.
Malah, dalam sejarah keluarga kedua-dua belah ibu bapanya juga tidak pernah ada rekod penyakit kanser darah.
Namun, segalanya berubah apabila Nur Dhia mula menunjukkan beberapa perubahan fizikal dalam tempoh yang sangat singkat. Menurut ringkasan laporan perubatan, remaja berkenaan mengalami kesan mudah lebam pada kedua-dua belah kaki dan lengan kanannya selama empat hari.
Selain itu, arwah juga mengalami pendarahan gusi sebanyak dua kali dan demam selama dua hari.
Bagaimanapun, memandangkan demam tersebut kembali reda dan arwah tidak mengalami batuk berpanjangan atau penurunan berat badan mendadak, gejala awal itu tidak disangka sebagai petanda kepada penyakit yang mengancam nyawa.
Merosot dalam dua hari
Menyedari keadaan lebam yang semakin ketara pada Nur Dhia, keluarga membawanya ke hospital pada awal pagi 24 Jun lalu.
Pada awalnya, pemeriksaan fizikal mendapati arwah berada dalam keadaan sedar dan cuma kelihatan sedikit pucat.
Bagaimanapun, keputusan ujian darah mengejutkan semua pihak apabila mendapati bacaan hemoglobin berada pada paras rendah (anemia), manakala sel darah putih pula melonjak terlalu tinggi mencecah bacaan 229.
Berdasarkan keputusan tersebut, pakar hematologi mengesyaki Nur Dhia menghidap Acute Promyelocytic Leukemia (APL) iaitu sejenis leukemia akut (kanser darah) yang agresif serta memerlukan rawatan segera.
Detik hiba bermula apabila keadaan remaja berkenaan merosot secara drastik ketika dalam proses dipindahkan ke wad.
Nur Dhia tiba-tiba muntah sebelum rebah tidak sedarkan diri akibat kesukaran bernafas sehinggakan jantungnya dilaporkan berhenti berdenyut.
Meskipun pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan bantuan pernafasan cardiopulmonary resuscitation (CPR) selama 20 minit dan memberikan bantuan mesin ventilator di Unit Jagaan Rapi (ICU), takdir mengejutkan itu tidak dapat ditolak.
Badan arwah dilaporkan mengalami kekurangan oksigen dan gangguan metabolik yang sangat serius sebelum disahkan pergi buat selama-lamanya.
Arwah yang di bawa ke hospital pada 23 Jun, berada di ICU selama sehari telah menghembus nafas terakhirnya pada 7.24 pagi, 25 Jun
Pemeriksaan darah awal mampu mengurangkan risiko
Pemergian mengejut anak sulung daripada dua beradik itu diharapkan dapat membuka mata orang ramai.
Daripada perkongsian bapa arwah, jika ada dalam kalangan keluarga anda yang mempunyai simptom-simptom asas seperti ini dinasihatkan agar tidak diambil remeh:
-Mudah lebam pada anggota badan tanpa sebab trauma atau terjatuh.
-Pendarahan gusi atau hidung.
-Demam yang datang dan pergi.
Segera membuat pemeriksaan awal seperti ujian darah bagi mengesan penyakit ini dengan lebih cepat sebelum ia menjadi aktif dan kritikal.
Terkilan tak ambil serius
Berkongsi kepada SinarPlus, bapa arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Piezam mengakui berasa terkilan kerana sebelum ini tidak mengambil serius untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penyakit kanser darah ini.
"Saya rasa sedikit terkilan sebab tak ambil serius untuk tahu lanjut tentang leukemia. Kanser-kanser lain sering dengar dan terjadi kepada rakan-rakan atau di sekitar saya.
Jelas lelaki itu lagi, dirinya terpanggil untuk berkongsi kesedaran kerana sifat penyakit tersebut yang menular secara 'senyap' tanpa menunjukkan tanda-tanda sakit yang berat pada peringkat awal.
"Pengalaman arwah anak saya, leukimia menyerang tanpa sakit. Hanya tanda-tanda asas sahaja. Apabila sudah mula aktif, sekelip mata sahaja ia menjadi agresif," kongsinya.