SERAMAI 200 bakal ibu bapa diberi pendedahan mengenai kepentingan memulakan simpanan pendidikan anak sejak lahir bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin melalui Program Kelas Antenatal di Dewan Karangkraf, di sini, pada Ahad.
Pendedahan itu disampaikan menerusi sesi taklimat oleh Pengurus Jualan Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Selangor, Norli Abu Bakar yang berkongsi kepentingan memulakan simpanan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebaik sahaja anak dilahirkan.
Menurut beliau, perancangan kewangan untuk pendidikan tidak seharusnya dibuat apabila anak hampir melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), sebaliknya perlu dimulakan sejak awal bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa pada masa depan.
“Tempoh kira-kira 18 tahun sebelum anak memasuki IPT memberi peluang kepada ibu bapa membina simpanan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
"Walaupun jumlah simpanan dibuat sedikit demi sedikit, ia mampu berkembang dan memberi manfaat besar apabila anak melanjutkan pengajian kelak," katanya.
Sebelum itu, program selama empat jam terbabit merangkumi beberapa pengisian termasuklah sesi taklimat Simpan SSPN, penerangan penjagaan antenatal dan kemurungan selepas bersalin, sokongan emosi ayah, kekuatan seorang ibu dari doktor pakar bertauliah serta pemulihan ibu selepas bersalin.
Selain itu, Kelas Antenatal anjuran Sinar Plus, PTPTN dan Columbia Asia terbabit turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti cabutan hadiah termasuklah hadiah grand prize berbentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM500 untuk peserta terpilih.
PTPTN tawar dua produk simpanan
Norli memberitahu, PTPTN kini memberi fokus mendekati bakal ibu bapa dan ibu bapa yang mempunyai anak bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan simpanan pendidikan sejak awal kelahiran.
Menurutnya, masih ramai ibu bapa tidak mengetahui akaun Simpan SSPN boleh dibuka sebaik sahaja bayi mempunyai sijil kelahiran tanpa perlu menunggu sehingga anak memasuki alam persekolahan.
Kongsi Norli, PTPTN menawarkan dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang boleh dipilih mengikut keperluan dan kemampuan ibu bapa. Beliau berkata, Simpan SSPN Prime menawarkan simpanan minimum RM20 tanpa komitmen bulanan, manakala Simpan SSPN Plus menggabungkan simpanan dengan perlindungan takaful dengan pakej serendah RM30 hingga RM500 sebulan.
Selain itu, katanya, pendeposit turut menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat.
Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah
Beliau turut menggalakkan ibu bapa memanfaatkan tempoh yang panjang sebelum anak memasuki IPT untuk membina simpanan secara konsisten sebagai jaminan masa depan pendidikan mereka.
Program bermanfaat
Sementara itu, seorang peserta, Nur Syafiqah Sabrin, 27, berkata, program berkenaan memberi banyak pendedahan kepada dirinya yang bakal bergelar ibu buat kali pertama.
Menurutnya, sesi perkongsian mengenai Simpan SSPN membuka kesedaran dia dan suami, Amizulfaiz Zulkiflee, 27, bahawa simpanan pendidikan anak perlu dimulakan sejak bayi dan bukannya apabila anak sudah memasuki sekolah.
"Memang ada perancangan untuk membuka akaun simpanan anak. Selepas mengikuti program ini, urusan itu menjadi lebih mudah kerana saya lebih memahami kepentingan membuat simpanan dari awal," katanya.
Justeru, Nur Syafiqah yang merupakan suri rumah turut meluahkan rasa terharu apabila diumumkan sebagai pemenang cabutan hadiah berbentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM500 untuk anak bakal dilahirkan tidak lama nanti.
Seorang lagi peserta, Nor Fatiha Syed Naziman,32, pula berpandangan, keseluruhan program berjalan lancar dan menyampaikan pelbagai maklumat bermanfaat kepada bakal ibu bapa.
Katanya, penerangan PTPTN mengenai simpanan pendidikan memberi keyakinan kepada beliau untuk memulakan perancangan kewangan anak sejak awal sebagai persediaan menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat.
Menurutnya, dia juga tidak menyangka akan menerima hadiah cabutan hadiah berbentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM50, sekali gus bersyukur atas peluang tersebut.