‘Hanya insan terpilih...’ Pernah tular santuni jemaah haji, pramugara Hafeez Al Bukhary Kini kritikal lawan kanser usus

Iklan

SEBUT sahaja nama Hafeez Al Bukhary Zulkefly, pasti ramai yang terbayang wajah manis pramugara Malaysia Airlines (MAS) yang pernah tular di media sosial menyantuni warga emas dan jemaah haji dengan penuh kasih sayang.

Terbaharu, warganet dikejutkan dengan perkhabaran duka apabila personaliti media sosial yang mempunyai hampir 300,000 pengikut di TikTok itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Iklan
Iklan

Berita hiba itu dikongsikan sendiri oleh sepupunya, Hani Mishan, menerusi satu hantaran di platform Threads. Menurut Hani, keadaan kesihatan Hafeez kini semakin merosot sehinggakan terpaksa dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak.

"Sepupu saya kini berada dalam keadaan kritikal dan sudah dibawa pulang ke kampungnya di Perak. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar dia sembuh daripada kanser," kongsinya.

Iklan

Dalam pada itu, penyanyi, pengacara podcast Borak Dalam Galley (BDG) dan bekas pramugara, Zarul Umbrella turut menzahirkan rasa hiba atas perkhabaran tersebut. 

Sebagai rakan industri yang pernah bekerjasama dengan Hafeez, Zarul menyeru orang ramai untuk terus memberikan sokongan dalam bentuk doa.

Iklan

"Baru sahaja menerima perkhabaran duka, rakan kami Hafeez yang pernah muncul dalam podcast BDG sebelum ini berada dalam keadaan kritikal. 

"Saya dan pasukan BDG berharap sesiapa yang membaca hantaran ini dapat mendoakan kesembuhan Hafeez," titip Zarul.

Mengimbas kembali rentetan perjuangan melawan kanser, pramugara berusia 42 tahun itu pernah mendedahkan status kesihatannya kepada umum pada 27 Ogos 2025. 

Melalui hantaran yang penuh emosi tersebut, beliau mengesahkan telah didiagnosis dengan kanser usus tahap empat.

"Bagi yang mungkin masih belum jelas dengan perkongsian saya sebelum ini, izinkan saya maklumkan bahawa saya telah didiagnos dengan kanser kolon (usus) tahap empat. Alhamdulillah, saya menerimanya dengan hati reda, kerana saya percaya bahawa hanya insan yang dipilih oleh ALLAH akan melalui ujian sebegini.

Sebagai seorang pejuang kanser, emosi dan semangat yang positif adalah 'ubat' paling mujarab. Oleh itu, ketika mula-mula berkongsi tentang penyakitnya, Hafeez pernah menitipkan pesanan sangat mendalam buat seluruh kenalan dan pengikut agar tidak berkongsi cerita duka atau kisah kematian akibat kanser.

Dia bimbang, perkongsian emosi yang negatif sebegitu secara tidak langsung boleh menjejaskan kekuatan dalamannya untuk terus berjuang melawan penyakit berkenaan.

"Saya mohon jasa baik sahabat semua untuk tidak berkongsi kisah tentang kenalan atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia akibat kanser. Saya yakin niat kalian baik, tetapi pada saat ini hal sebegitu sangat menyinggung perasaan saya dan mampu melemahkan semangat," kongsinya.

Hafeez turut mengingatkan bahawa setiap pesakit mempunyai tindak balas tubuh dan fasa rawatan yang berbeza, justeru sebarang perbandingan tidak sewajarnya dibuat. Sepanjang fasa sukar tersebut, dia meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan pasukan onkologi terbaik yang sentiasa membimbingnya dengan rawatan yang sesuai.

Sumber: Threads, Instagram