PRAMUGARA dan pempengaruh, Hafeez AlBukhary Zulkefly yang terdahulu dilaporkan kritikal menghembuskan nafas terakhirnya pada Khamis.
Berita pemergian Hafeez atau nama sebenarnya Hafiz Bukhari dikongsikan sepupunya, Hani Mishan di Thread.
"Assalamualaikum. Baru dapat perkhabaran daripda kakak Hafeez. Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Hafiz Bukhari bin Zulkefly telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.
"Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya, dan mengurniakannya syurga firdaus. Aamiin," titipnya.
Sementara itu, pelakon dan hos audio siar Borak Dalam Galley, Zarul Umbrella turut berkongsi hantaran hiba.
"Selamat jalan sahabat, semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya. Menempatkan dalam kalangan hamba-hamba yang beriman. Al-Fatihah," coret Zarul.
SinarPlus terdahulu berkongsi berita pramugara Malaysia Airlines (MAS) sedang kritikal melawan kanser usus tahap empat dan telah dibawa pulang ke kampung halaman di Perak.
Pergi pada usia 42 tahun, Hafeez banyak berkongsi konten berkaitan kerjaya pramugara dan pengalaman mengendalikan penumpang serta jemaah haji sepanjang penerbangan.
Perwatakannya yang mesra dan sentiasa mengukir senyuman ketika bertugas menjadikan Allahyarham antara personaliti media sosial disenangi pengikutnya.