PEMERGIAN pramugara dan personaliti media sosial, Hafeez AlBukhary Zulkefly bukan sahaja mengejutkan ramai, malah turut meraih perhatian netizen yang menyifatkan pengakhiran hidupnya sebagai sebuah pemergian dicemburui.
Menghembuskan nafas terakhir dunia pada malam Jumaat, salah seorang kenalannya, Nurul Azwin, menerusi aplikasi Thread berkongsi rasa hiba dan menyifatkan doa impian arwah selama ini termakbul.
"Malam ni ALLAH makbulkan doamu dik. Kami saksi betapa janji ALLAH itu pasti. ALLAH ambil semula hamba-NYA di malam Jumaat.
"Husnul khatimah, subhanallah. Semoga ALLAH ampunkan segala dosamu, dijauhkan daripada seksa kubur dan ditempatkan di syurga. Al-Fatihah buat Hafeez," titipnya.
Ketika dihubungi oleh SinarPlus, Nurul Azwin berkongsi coretan emosi mengenai keperibadian arwah yang ditemui ketika sering berulang-alik ke Tanah Suci bagi menguruskan jemaah.
"Saya cuma kenalan sahaja, selalu pergi umrah dan bawa grup umrah bersama suami. Beberapa kali juga bertembung dengan arwah (di sana).
"Dari situ memang kita tahu antara doa-doa arwah dan kami adalah doa yang sama iaitu meminta mati dalam husnulkhatimah.
"Ia bukan spesifik pada hari Jumaat semata-mata, kerana kematian pada hari Jumaat itu sendiri sudah termasuk dalam pengakhiran yang baik (husnulkhatimah)," katanya.
Tambah Nurul Azwin, sebagai individu yang kerap bertemu di tempat yang sama iaitu di Tanah Suci ketika arwah mengendalikan penerbangan Amal by Malaysia Airlines, topik mengenai pengakhiran hidup sering menjadi perbualan mereka.
"Antara doa-doa yang dikirim atau sembang santai pun, kami akan meminta untuk saling mendoakan antara satu sama lain. Doa ALLAH ampunkan dosa, doa mati husnul khatimah.
"Doakanlah kebaikan buat arwah juga, sama seperti apa yang arwah pernah rakamkan sewaktu dia menyantuni jemaah-jemaah sebelum ini. Dia memang seorang yang sangat baik," ujarnya.
SinarPlus terdahulu melaporkan tentang keadaan Hafeez yang kritikal bertarung dengan kanser usus yang dihidapinya.
Allahyarham kemudian disahkan menghembuskan nafas terakhirnya pada malam Khamis (malam Jumaat).
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.