CARA didikan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan isteri, Datin Dr Halina Yunos kepada tujuh cahaya mata mereka sering menjadi inspirasi.
Dalam perkembangan terbaharu, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi khabar gembira mengenai kejayaan anak kembar lelakinya, Sheikh Adam dan Sheikh Noah yang berjaya merangkul pingat perak dalam pertandingan Olympia Mathematics Competition 2026.
Bagaimanapun, di sebalik ucapan tahniah dan rasa bangga itu, beliau turut meluahkan tentang cabaran sebenar dalam membesarkan anak kembar yang mempunyai potensi dan personaliti berbeza.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, walaupun dilahirkan sebagai pasangan kembar, perkembangan dan pencapaian Adam serta Noah mempunyai jurang.
"Adam sentiasa di depan Noah dalam segala-galanya. Sama ada dalam sukan, mahupun akademik. Adam terlalu ke depan, meninggalkan Noah di belakang," tulisnya.
Beliau turut berkongsi beberapa contoh perbezaan pencapaian mereka sebelum ini, termasuk kedudukan di dalam kelas serta kutipan pingat dalam acara sukan.
"Adam sentiasa nombor satu di dalam kelas, Noah pula akan dapat nombor dua atau tiga. Adam akan bawa pulang lima pingat dalam pertandingan renang, manakala Noah mendapat satu pingat.
"Untuk acara merentas desa pula, Adam di kedudukan nombor dua dan Noah nombor lapan," kongsinya.
Tidak mudah untuk meletakkan anak kembar pada tahap yang selari. Bapa kepada dua pasang anak kembar itu, menyataka ia adalah sesuatu yang menuntut kecekalan.
"Inilah cabaran saya dalam membesarkan anak kembar. Untuk memastikan mereka berada pada tahap yang sama.
"Untuk jadikan mereka sama rata. Berada di halaman yang sama dalam pencapaian mereka," luahnya lagi.
Meskipun menyedari jurang tersebut, Dr Sheikh Muszaphar tidak pernah berputus asa, sebaliknya menyifatkan Noah sebagai seorang yang memerlukan sedikit masa untuk berkembang.
"Dia (Noah) seorang yang slow starter. Dia memerlukan lebih masa dan saya percaya dia mampu. Tidak lama lagi dia akan memotong Adam," kongsinya.
Walau bagaimanapun, beliau tetap menzahirkan rasa kagum melihat terhadap ikatan persaudaraan antara dua anak kembar lelakinya itu.
"Sejujurnya saya sangat bangga dengan kedua-dua mereka. Melakukan semua perkara bersama-sama dan saling menyokong antara satu sama lain. Saling menyayangi dan bersaing dengan cara sihat," titipnya.
Adam dan Noah yang berusia sembilan tahun terdahulu mencuri perhatian apabila meraih pencapaian luar biasa mereka dalam bidang Matematik apabila masing-masing menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, Singapore And Asian Schools Maths Olympiads (SASMO) 2026.
Adam berjaya meraih Kumon Award daripada Kumon selepas berada lima tahun ke hadapan daripada tahap pembelajarannya dalam subjek berkenaan manakala Noah pula empat tahun ke hadapan.
Sekadar info, Adam dan Noah ialah anak ketiga serta keempat Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina.
Pasangan yang mendirikan rumah pada 10 Oktober 2010 itu turut dikurniakan sepasang lagi kembar iaitu Sheikh Eusoff serta Sophea Emelia yang kini berusia lima tahun.
Sumber: Instagram