PERNAH tular satu Malaysia pada tahun 2012 hingga 2020 dengan kisah api misteri, nama Wan Nor Fatihah Wan Hanafi kembali menjadi bualan hangat.
Namun kali ini, bukan lagi tentang api yang tiba-tiba marak di penjuru rumah, tetapi tentang kisah cinta uniknya yang memilih seorang pengamal perubatan Islam berusia 82 tahun sebagai peneman hidup.
Siapa sangka, jodoh yang tertulis rupanya hadir ketika diri sedang sarat diuji. Dia mengenali suaminya, Mokhtar Mohamed yang mengubati penyakit misterinya.
"Saya mengenali suami ketika ikhtiar untuk mengubati penyakit selepas beberapa kali diuji dengan misteri kemunculan api di rumah walaupun sudah berpindah dari Melor ke Penambang.
"Pada awalnya keputusan saya untuk mengahwini suami yang merupakan duda selepas kematian isteri Februari lalu tidak dipersetujui oleh nenek serta ahli keluarga lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, mereka mendirikan rumah tangga pada 24 Jun lalu selepas berkenalan selama dua tahun namun perjalanan itu tidaklah semudah yang disangka.
Awalnya, keputusan Fatihah untuk berkahwin dengan Mokhtar yang juga seorang duda selepas kematian isteri pada Februari lalu mendapat tentangan hebat daripada nenek, Zainab Sulaiman, 88 atau Mok Nab dan ahli keluarga yang lain.
Namun, tekadnya untuk mencari pelindung yang memahami akhirnya melembutkan hati keluarga.
Pernah melalui fasa perkahwinan pertama dengan lelaki berusia 40-an yang hanya bertahan selama setahun, Fatihah tidak serik membuka hati.
Kini, dia memulakan hidup baru dan menetap di rumah suaminya di Kampung Chat, Bachok di samping tujuh orang anak tiri yang berusia antara 42 hingga 61 tahun.
Apabila ditanya tentang pandangan masyarakat mengenai jurang usia mereka yang sangat jauh, Fatihah hanya tersenyum tenang. Baginya, kehidupan kini lebih baik, bebas gangguan mistik di samping suami tercinta.
"Sebelum ini ramai yang beranggapan saya mental dan sebagainya disebabkan kejadian api misteri tersebut. Bukan mudah untuk saya lalui situasi berkenaan.
"Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih baik disamping suami. Tentang perbezaan usia, itu hanya perkara kecil walaupun kami sering digelar cucu dan datuk bila muncul di khalayak ramai," katanya.
Imbas kembali, Wan Nor Fatihah dan keluarganya mendapat perhatian sejak 2010 selepas kemunculan api misteri secara tiba-tiba membakar barangan dalam kediaman dan menyebabkan dia sekeluarga hidup dalam keadaan resah dan ketakutan.
Dua kediaman di Kampung Bunga Emas, Penambang pernah terbakar dan difahamkan di Melor juga mendapat nasib yang sama.
Pelbagai ikhtiar dan cara telah dilakukan untuk mengatasi gangguan itu termasuk perawatan Islam di samping solat hajat bagi memulihkan semangat.
Nasib keluarganya turut mendapat perhatian daripada banyak pihak, antaranya pernah menerima kunjungan mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sumber: Sinar Harian