DI sebalik seragam yang dipakai, ada individu yang sanggup berjaga siang dan malam demi memastikan orang lain dapat menjalani kehidupan dengan rasa lebih selamat.
Namun, di sebalik tanggungjawab besar itu, kerjaya sebagai pengawal keselamatan masih sering dipandang rendah oleh sebahagian masyarakat.
Hakikatnya, tugas mereka jauh lebih besar daripada sekadar mengawal pintu masuk sesebuah premis. Mereka menjadi antara barisan hadapan yang melindungi aset, bangunan, organisasi dan orang awam setiap hari, tanpa mengira waktu.
Menyedari hakikat itu, Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) terus mengangkat usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap profesion berkenaan menerusi penganjuran Malam Penghargaan Sekuriti Swasta 2026 yang membawa tema"Wira 24/7".
Presiden PIKM, Mejar (K) Datuk Muhammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, sudah tiba masanya industri keselamatan swasta dilihat sebagai kerjaya profesional yang mempunyai masa depan serta nilai tersendiri.
Menurut beliau, masih ramai beranggapan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan hanyalah pilihan terakhir, sedangkan golongan ini memikul amanah besar dalam memastikan keselamatan orang ramai dan harta benda sentiasa terpelihara.
Kongsinya lagi, penghargaan terhadap warga industri keselamatan dapat diperkasakan, termasuk cadangan supaya Malam Penghargaan Sekuriti Swasta dijadikan acara rasmi tahunan sebagai simbol pengiktirafan kepada mereka yang bertugas 24 jam sehari sepanjang tahun.
Dalam masa sama, PIKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi meningkatkan standard perkhidmatan, pembangunan modal insan dan memastikan hanya syarikat yang mematuhi peraturan dibenarkan beroperasi.
Selain soal pengiktirafan, industri itu turut berdepan beberapa cabaran yang memerlukan perhatian. Antaranya ialah persaingan harga yang terlalu agresif sehingga memberi tekanan kepada syarikat keselamatan untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan dan menjaga kebajikan pekerja.
Beliau turut menambah, kenaikan beberapa bayaran lesen termasuk berkaitan senjata api turut menambah kos operasi, khususnya kepada syarikat bersaiz kecil.
Katanya lagi, perkara itu dapat diteliti semula agar industri dapat terus berkembang secara mampan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.
Sementara itu, Naib Presiden PIKM, Mejar (K) Habibullah Dato' Ahmad berpandangan penetapan harga lantai bagi perkhidmatan kawalan keselamatan wajar dipertimbangkan bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat.
Menurutnya, langkah itu bukan bertujuan meningkatkan keuntungan syarikat, sebaliknya memastikan setiap penyedia perkhidmatan mampu memenuhi tanggungjawab seperti pembayaran gaji minimum, caruman KWSP, PERKESO, EIS, latihan pekerja dan pematuhan kepada syarat pelesenan yang ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Naib Presiden PIKM, Aini Suraya Osman melihat industri keselamatan sebagai antara sektor yang masih membuka ruang pekerjaan kepada golongan berusia yang mahu terus aktif selepas bersara.
Katanya, ramai bekas anggota tentera memilih bidang itu kerana pengalaman, disiplin dan kemahiran yang dimiliki masih boleh dimanfaatkan. Malah, kerjaya tersebut turut menawarkan peluang peningkatan kerjaya dan sumber pendapatan yang stabil.