'SIKAP arwah tidak suka membantah, malah sentiasa mengalah dan membantu hingga membuatkan kami rindu."
Demikian luah bapa pemuda, Nabil Izz Qaisar iaitu Mohd Zairee Mindar, 49, yang reda dengan pemergian anak lelaki tunggalnya itu selepas disahkan mengalami kematian otak akibat kecederaan serius di kepala.
Meskipun berat untuk melepaskan, keputusan murni Mohd Zairee dan isterinya, Zaidah Mohd Sapawi, 49, membenarkan tujuh organ serta tisu Allahyarham Nabil didermakan kini menjadi sinar baharu yang memberi sejuta harapan buat enam orang pesakit yang telah lama menunggu.
Mengimbau kembali detik sukar tersebut, Mohd Zairee memberitahu keputusan membenarkan organ anak kesayangannya didermakan bukanlah dibuat secara terburu-buru.
"Pada mulanya memang tak terfikir langsung mengenai derma organ kerana ketika itu fikiran kami hanya tertumpu kepada keadaan Nabil.
"Tetapi selepas doktor menerangkan keperluannya, kami melihat daripada sudut manfaat dan amal jariah, selain peluang membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada Sinar Ahad.
Allahyarham Nabil Izz Qaisar, 19, yang merupakan penuntut Diploma Kewangan Islam di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami kecederaan serius di kepala ketika beriadah di Taman Eko Rimba Kanching, Rawang, pada 25 Julai lalu.
Meskipun jasadnya sudah tiada, pengorbanan anak muda ini terus 'bernafas' menerusi pendermaan paru-paru, jantung, hati, dua buah pinggang dan dua kornea mata sekali gus memberi sinar harapan baharu buat enam individu yang bertarung nyawa.
Bagi memastikan tindakan tersebut tidak menyalahi syarak, Mohd Zairee turut mendapatkan pandangan daripada Timbalan Mufti Selangor, Profesor Madya Datuk Dr Miszairi Sitiris terlebih dahulu sebelum membulatkan tekad.
"Doktor menerangkan setiap prosedur kepada kami antaranya memberi bius penuh kepada Nabil ketika pembedahan dan menguruskan jenazah arwah dengan penuh hormat," tambahnya.
Sebagai tanda penghormatan tertinggi atas jasa mulia itu, Hospital Selayang turut mengadakan majlis Honor Walk pada jam 3 pagi bagi mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham sebelum jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Jannah, Taman Pertama.
ANAK LELAKI HARAPAN KELUARGA
Mengimbau peribadi anak kedua daripada lima beradik itu, Mohd Zairee menyifatkan Nabil sebagai anak yang sangat matang.
Sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, arwah sentiasa dididik untuk menjadi pelindung dan bakal wali buat adik-beradik perempuannya.
"Kami didik arwah supaya matang, bertanggungjawab dan mampu membimbing keluarga kerana dia satu-satunya anak tunggal lelaki.
"Arwah bukan jenis memberontak, kalau kami tak benarkan sesuatu, dia akan terima dan faham, selain banyak membantu keluarga serta menjaga adik-adiknya," katanya.
Kehilangan pemuda itu kini amat dirasai terumata apabila terkenang sifat penyayang, suka mengalah dan ringan tulang.
"Sikap arwah tidak suka membantah, malah sentiasa mengalah dan membantu hingga membuatkan kami rindu padanya," katanya.
NIAT SAMBUT HARI LAHIR TAK KESAMPAIAN
Mohd Zairee sempat mengimbas kembali detik-detik akhir bersama Nabil. Katanya, kali terakhir mereka bertemu ialah sehari sebelum kejadian iaitu semasa solat Jumaat di Masjid Parit Baru.
Malah adik-adik perempuan Allahyarham telah sepakat untuk menyambut ulang tahun kelahiran abang sulung mereka sehari sebelum tragedi.
"Saya sempat bersalam dengannya dan mengajak dia ikut balik ke rumah datuknya di Perak keesokan hari, tetapi dia menjawab, nanti dia beritahu semula.
"Kami rancang Ahad nanti dapatlah makan bersama sebagai satu keluarga, tetapi kami pula dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan Nabil sedang dirawat di hospital.
"Siapa sangka, perancangan meraikan ulang tahun Nabil bertukar menjadi detik paling memilukan apabila kami akhirnya terpaksa mengiringi pemergiannya buat selama-lamanya," kongsinya.
SinarPlus terdahulu berkongsi organ yang didermakan oleh Allahyarham iaitu paru-paru, jantung, hati, dua buah pinggang dua dua kornea telah selamat dipindahkan kepada enam penerima pada awal pagi Selasa lalu.
Video memaparkan Honor Walk yang menerima lebih 370,000 tontonan dan sekali gus meruntun hati warganet.
Sumber: Sinar Harian