Tragedi lantai bas reput ragut nyawa anak, 7 tahun tuntut keadilan & RM2 juta, ibu akur terima RM17,573

Iklan

PERJUANGAN seorang ibu hampir sedekad menuntut keadilan anaknya yang maut terjatuh akibat lantai bas yang reput sehingga berlubang akhirnya menemui jawapan.

Nik Hasmani Mohamed, 51, selaku plaintif mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pihak iaitu pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, 53; pemilik bas, Mohamad Che Su, 71; Guru Besar, Ahmad Sanusi Ramlee, 63, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga kelima dalam kes kematian anaknya, Wan Mohammed Adam Mohd Suria yang baharu berusia 12 tahun ketika kejadian.

Iklan
Iklan

Memetik Sinar Harian, Nik Hasmani turut menamakan Pengarah Institut Neo (Ined) Universiti Teknologi Mara (Uitm) dan universiti itu sebagai pihak ketiga.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 20 April lalu memerintahkan lima pihak termasuk pemandu bas dan guru besar membayar ganti rugi berjumlah RM17,573.

Iklan

Bagaimana perjalanan bersama 30 rakan ke Besut, Terengganu menjadi momen yang menyaksikan kematian Adam? Ini kronologinya :

1-Wan Mohammed Adam sebuah sekolah kebangsaan di Machang mengikuti program ‘English Booster Week’ UPSR 2019 di bawah Program Empower ECER Academic Training yang dianjurkan Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Iklan

2-Tragedi berlaku pada jam 11.40 pagi pada 4 Julai 2019 lalu apabila arwah didapati terjerlus dari lantai hadapan bas yang reput sebelum terjatuh atas jalan di Kilometer 12, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

3-Malangnya, nyawa kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

4-Berdasarkan alasan penghakiman bertarikh 20 April lalu yang dimuat naik pada Ahad, Hakim, Mohd Rosli Yusoff membenarkan ganti rugi khas RM7,573 serta ganti rugi kesedihan dan kedukacitaan RM10,000 kepada plaintif.

5-Mahkamah mendapati Nik Hasmani berjaya membuktikan tuntutannya dan menetapkan liabiliti keseluruhan sebanyak 100 peratus terhadap pihak yang dipertanggungjawabkan.

6-Hakim Mohd Rosli berkata, tragedi itu mungkin dapat dielakkan sekiranya pemandu bas bertindak tegas dengan melarang murid berjalan atau bergerak ke sana sini ketika perjalanan.

7-Katanya, pemandu juga mempunyai kuasa untuk menghentikan kenderaan jika terdapat murid yang enggan mematuhi arahannya.

8-Jelasnya, mahkamah mendapati bahawa kemalangan dalam kes ini mungkin boleh dielakkan jika pemandu bas tersebut, bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak daripada berjalan-jalan atau merayau ke sana sini semasa dalam perjalanan tersebut.

9-Kata Mohd Rosli, defendan pertama juga boleh menghentikan bas tersebut jika terdapat mana-mana kanak-kanak yang degil dan gagal mendengar arahannya. Bagaimanapun, perkara itu tidak dilakukan walaupun pemandu berkenaan merupakan satu-satunya orang dewasa di dalam bas dan mempunyai kuasa serta kawalan penuh terhadap perjalanan serta keselamatan murid.

10-Mahkamah turut mendapati kemalangan berkenaan boleh dielakkan sekiranya pemilik bas menyediakan kenderaan yang kukuh dan selamat untuk digunakan.

11-Mahkamah berpuas hati bahawa bahagian lantai hadapan bas, tempat mangsa terjerlus dan terjatuh telah reput serta tidak kukuh. Malah jika pemilik bas menggantikan keseluruhan lantai kenderaan dengan lantai yang baharu dan kukuh, kejadian ini tidak akan berlaku walaupun kanak-kanak berkeliaran dan melompat-lompat.

12-Bukan itu sahaja, mahkamah mendapati guru besar ketika kejadian cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya memastikan keselamatan murid. Guru besar berkenaan menyerahkan urusan pelepasan murid yang menyertai program itu kepada penolong kanan sekolah, pada pagi kejadian kerana beliau perlu melayan tetamu.

13-Mahkamah berpandangan tindakan itu menunjukkan kegagalan mengambil berat terhadap tugas hakiki sebagai guru besar dan memastikan keselamatan murid, sebaliknya memberi lebih tumpuan kepada urusan peribadi.

14- Guru besar berkenaan juga bukan sahaja gagal menyediakan guru pengiring, malah tidak memastikan kehadiran pegawai pengiring yang dikatakan akan disediakan oleh pihak penganjur, iaitu Pengarah iNED.

15-Justeru, kegagalan itu turut dipikul defendan keempat dan kelima selaku pegawai atasan serta majikan guru besar berkenaan secara vikarius.

16-Mahkamah tidak mengenakan sebarang liabiliti walaupun terdapat keterangan bahawa mangsa berjalan di dalam bas. kerana ia perkara yang boleh dijangkakan berlaku apabila kanak-kanak berada dalam rombongan bersama rakan sebaya tanpa pengawasan orang dewasa.

17-Berdasarkan keseluruhan fakta, mahkamah memutuskan defendan-defendan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian mangsa dengan pembahagian liabiliti defendan pertama dan kedua masing-masing merangkumi keseluruhan 50 peratus tanggungan, manakala defendan ketiga hingga kelima 25 peratus dan pihak ketiga pertama serta kedua turut 25 peratus.

18-Nik Hasmani sebelum itu turut menuntut RM1 juta masing-masing bagi ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan mamun ditolak mahkamah kerana ganti rugi teruk hanya diberikan sekiranya perbuatan defendan tergolong dalam kategori berniat jahat, menyinggung perasaan secara melampau, menyebabkan tekanan fikiran atau emosi, penghinaan serta menjejaskan maruah ibu mangsa.

Imbas kembali Julai 2019, Wan Mohammed Adam maut ketika dalam perjalanan ke Besut, Terengganu untuk menghadiri bengkel bahasa Inggeris di Besut selepas terjatuh dari lubang bahagian hadapan bas.

Maklumat awal siasatan mendapati kenderaan itu mempunyai permit dan lulus ujian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) pada Mei 2019.

Sumber: SInar Harian