'Jaga solat, kita ahli syurga' — Nukilan anak arwah Cik Man undang sebak, janji teruskan harapan bapa

Iklan

PEMERGIAN aktor veteran Kamarool Yusoff baru-baru ini memberikan duka mendalam buat ahli keluarga serta seluruh peminat industri seni tempatan.

Figura yang mesra disapa Cik Man itu bukan sahaja seorang pelakon berwibawa, malah seorang bapa penyayang yang kini meninggalkan sejuta kenangan manis buat insan-insan terdekatnya.

Iklan
Iklan

Genap lima hari pemergian permata hati mereka, anak sulungnya, Nur Najihah, 27, meluahkan rasa kehilangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata menerusi satu hantaran di aplikasi TikTok.

Iklan

"Semalam masih lagi terasa bagai mimpi, hari ini terasa kosong dan esok masih belum pasti.

"Kehilangan seorang sosok 'ayah', kehilangan seorang ‘lelaki’ yang hebat dalam keluarga kecil kami.

Iklan

"Takkan kembali tapi kenangan akan tetap diputar.

"Bukan tidak reda tapi untuk disimpan sebagai kenangan," titipnya.

Menurut Najiha, biarpun bapa tersayang sudah tiada, Allahyarham telah 'menyediakan' sebuah legasi dan pesanan agar tidak meremehkan ibadat solat sentiasa menjadi pegangan hidup.

"Ada cinta dan harapan yang ditinggal untuk kami terus melangkah

"Insya-ALLAH Aliff Fakhrol akan terus jadi pengganti abah sebagai ‘lelaki’ hebat dalam keluarga kecil kami.

“ 'Jaga solat kita ahli syurga' bukan sekadar kata-kata tetapi pesanan untuk diikuti," dedahnya yang turut berkongsi foto kenangan bersama Allahyarham.

Terdahulu, isteri Allahyarham Norliza Mohd Aduni, berkongsi pelakon itu mengadu keletihan sejak dua hingga tiga minggu sebelum pemergiannya 5 Ogos lalu.

Aktor berusia 68 tahun itu ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) selepas mengalami masalah saluran jantung tersumbat menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 petang ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Tanah Merah.

Hasil perkahwinan Allahyarham Cik Man dengan Norliza dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Najihah Kamarozaman, 27, dan Ahmad Fakrul Alif, 23, selain mempunyai seorang cucu berusia dua bulan setengah.

Empat dekad dalam industri, Allahyarham yang terkenal dengan watak antagonis itu telah membintangi filem dan drama termasuk Gila-Gila Remaja, Rozana Cinta 87, Cerita Hantu Malaysia, Rock, Rock Oo, Rock Bro!, Mael Totey The Movie serta filem aksi fantasi Abu Si Raksasa.

Sumber: TikTok