TEKNOLOGI nuklear mungkin kedengaran asing atau terlalu teknikal bagi sesetengah orang. Namun, hakikatnya banyak inovasi berteraskan sains ini sebenarnya berkait rapat dengan kehidupan seharian kita, terutamanya dari sudut pemakanan, kesihatan dan kelestarian keluarga.
Melihat kepada pentingnya kesedaran ini, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) mengambil langkah proaktif mendekatkan bidang sains dan teknologi kepada masyarakat menerusi penganjuran Program Advokasi Nuklear: Nuklear untuk Rakyat (N.U.R) @Wanita yang berlangsung di RekaScape, Cyberjaya.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Safida Zalma Mohd Piah ini secara khusus meletakkan golongan wanita sebagai fokus utama.
Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin dan Naib Presiden Kanan, Usahasama Strategik Bioeconomy Corporation Fadzrin Azwar Abdul Aziz.
Menurut Safida, langkah itu dilihat amat strategik memandangkan wanita selalunya menjadi tunjang keluarga dan sumber rujukan utama dalam membentuk pemikiran serta membuat keputusan isi rumah.
Inisiatif N.U.R@Wanita direka bukan sekadar untuk mendedahkan teori sains, sebaliknya menjadi wadah memperkasa wanita dan komuniti menerusi pendedahan aplikasi sains nuklear secara aman dan selamat.
Melalui kefahaman yang tepat dan berasaskan fakta, persepsi negatif atau tanggapan keliru mengenai teknologi ini dapat diperbetulkan dengan cara yang santai dan mudah diterima.
Suasana sepanjang program turut dirancakkan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang mesra keluarga. Antara yang mencuri tumpuan ialah Cabaran Inovasi Masakan Ubi Kayu Nuklear yang memperlihatkan bagaimana hasil pertanian sains nuklear boleh diolah dalam sajian harian.
Selain itu, pengunjung pelbagai peringkat umur turut memenuhi ruang STEM Escape Room, pertandingan mewarna buat si cilik, sesi perkongsian maklumat serta pameran khas produk dan perkhidmatan.
Langkah memperkasa literasi sains itu sejajar dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 yang dibawakan oleh MOSTI.
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan, Program Advokasi Nuklear ini turut mendapat kerjasama rakan strategik, Bioeconomy Corporation serta sokongan rakan pelaksana daripada Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dan Pusat Sains Negara (PSN) yang menyumbang kepakaran masing-masing dalam aspek bioekonomi, kawal selia keselamatan nuklear dan pendekatan sains interaktif kepada masyarakat.
Penglibatan gabungan agensi ini bersama Women in Nuclear (WiN), PUSPANITA serta komuniti setempat membuktikan sokongan padu dalam menjayakan agenda celik sains negara.
Usaha sebegini membuktikan bahawa pendedahan ilmu sains tidak mestinya membosankan, malah mampu memberi nilai tambah yang bermakna dalam memperkasa komuniti dan kehidupan harian.