SEBUAH karya drama sepatutnya menjadi ruang untuk penonton menikmati jalan cerita, emosi dan watak yang dipersembahkan.
Namun, apabila kandungannya didakwa menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan, sesuatu karya itu pastinya mengundang perhatian dan perbincangan lebih luas.
Situasi itu kini membabitkan drama Madu atau Racun yang mencetuskan kontroversi sehingga mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya, beliau menegaskan pendirian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menolak penayangan drama berkenaan susulan keresahan dan kontroversi yang timbul dalam kalangan masyarakat.
"Penerapan unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran perlu dibendung bagi memastikan pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara," ujarnya.
JPM (Hal Ehwal Agama) turut menegaskan prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama.
Dalam masa sama, pemaparan gaya hidup songsang disifatkan bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut.
Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan serta mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Langkah berkenaan bertujuan memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih selain memelihara kesucian agama.
Dalam kenyataan sama, JPM (Hal Ehwal Agama) turut menyeru penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka serta bertanggungjawab dalam menghasilkan sesuatu karya.
"Justeru, garis panduan rasmi yang ditetapkan wajar dijadikan rujukan utama dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.
Kepada seluruh umat Islam, JPM (Hal Ehwal Agama) turut menyeru supaya bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan," ungkap belaiau seperti dalam kenyataan media yang dikeluarkan.