Dari selawat, qasidah hingga hafazan, Hatimurni Berselawat 2026 cipta momen bermakna buat sekeluarga

Iklan

BAYANGKAN satu ruang dipenuhi suara selawat, anak-anak yang ikut melagukan qasidah, sementara ibu ayah duduk bersama menikmati suasana yang mungkin jarang dirasai dalam kesibukan harian. Bukan sekadar keluar menghadiri program, tetapi mengambil sedikit masa untuk memperlahankan langkah dan mengisi masa bersama keluarga dengan sesuatu yang dekat dengan jiwa.

Iklan
Iklan

Suasana itu dapat dirasai menerusi Hatimurni Berselawat & Hari Apresiasi Pelajar 2026 yang menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati baru-baru ini.

Lebih daripada sebuah program, pertemuan tersebut mengetengahkan satu perkara yang semakin penting dalam kehidupan keluarga hari ini iaitu bagaimana pendidikan agama boleh dihidupkan dalam suasana yang lebih dekat, santai dan tidak terhad kepada bilik darjah.

Iklan

Bagi Pengasas Hatimurni Islamic Private Education Centre, Ustazah Siti Khadijah Mohni, momen melihat ibu ayah hadir bersama anak-anak untuk berselawat menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang perjalanan Hatimurni dalam bidang pendidikan Islam.

"Alhamdulillah, melihat 3,000 orang berkumpul bersama keluarga dan anak-anak untuk berselawat kepada Rasulullah SAW adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati kami.

Iklan

"Program mungkin berakhir hari ini, tetapi kami berharap selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak berhenti di sini,” katanya.

Pengisian sepanjang program turut disusun dengan selawat, qasidah, maulid dan tausiyah yang memberikan ruang kepada keluarga untuk sama-sama menikmati suasana berteraskan nilai Islam.

Menghidupkan suasana agama di rumah

Dalam masa sama, kehadiran ibu ayah bersama anak-anak memperlihatkan bahawa pembentukan anak sebenarnya berlaku dalam banyak keadaan. Bukan hanya ketika mereka duduk di meja belajar atau berada di sekolah, tetapi juga melalui apa yang mereka lihat, dengar dan lakukan bersama keluarga.

"Kalau selepas pulang daripada Hatimurni Berselawat, ada keluarga yang mula mengambil sedikit masa untuk duduk bersama anak-anak, berselawat dan menghidupkan suasana agama di rumah, bagi kami itulah antara kejayaan paling besar program ini,” ujar Siti Khadijah.

Menariknya, program diteruskan pada sebelah petang dengan Hari Apresiasi Pelajar Hatimurni 2026 yang memberi peluang kepada anak-anak menunjukkan kebolehan masing-masing menerusi pertandingan nasyid, azan, Kalam Jamaie dan hafazan.

Bakat yang dipamerkan bukan semata-mata soal siapa yang menang atau menerima pengiktirafan. Lebih penting, anak-anak diberi peluang untuk berdiri di hadapan khalayak, bercakap, bekerjasama dan membina keyakinan diri.

Bagi ibu ayah, momen seperti ini mungkin nampak kecil, tetapi pengalaman tampil di hadapan orang ramai, menghafaz, menyanyi atau bekerjasama dalam satu kumpulan boleh menjadi kenangan yang dibawa anak-anak untuk tempoh yang panjang.

Pendekatan itu juga selari dengan pandangan Siti Khadijah bahawa pendidikan anak tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan.

"Kami tak nak anak-anak sekadar belajar agama. Kami nak mereka faham agama, cintakan al-Quran, ada adab dan mampu praktikkan ilmu dalam kehidupan,” katanya.