ISYARAT asap yang dihasilkan berjaya menemukan enam individu yang dilaporkan gagal dikesan dalam Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan sejak 3 September lalu.
Mereka yang diselamatkan, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39 bersama isteri, Siti Zulaiha Norizan, 39 dan dua anak mereka iaitu Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, sembilan tahun.
Dua orang malim gunung, Shafiee Sidek, 49 dan Hazman Mamat, 43, yang mengiringi keluarga berkenaan turut ditemukan.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Abdul Samad Othman berkata mangsa dibawa keluar dari Kem Kulim dan tiba di Kampung Lelar kira-kira 8.45 malam.
Beliau berkata mangsa sebelum ini berkumpul di Kem Kulim bersama pasukan penyelamat sebelum meneruskan perjalanan ke Pos Kemar.
Operasi membawa keluar mangsa turut dibantu pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan, yang melibatkan 10 anggota.
Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos.
Terdahulu, media melaporkan kumpulan pendaki itu dikesan selamat selepas pasukan mencari dan menyelamat mengesan isyarat asap dari udara di kawasan hutan terpencil ketika pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menerusi tinjauan udara.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Saini Saidun berkata isyarat asap itu dikesan ketika tinjauan udara dengan mangsa dipercayai berada kira-kira sejam perjalanan dari Kem Kulim.
5 IKHTIAR JIKA SESAT DALAM HUTAN
1-Apabila sedar sudah tersasar, berhenti berjalan dan duduk (Sit) serta-merta. Sekiranya terus berjalan, kebarangkalian semakin jauh tersesat adalah lebih tinggi. Duduk dan bertenang membolehkan individu mengawal hormon adrenalin daripada melonjak dan seterusnya membantu untuk berfikir secara waras.
2-Langkah seterusnya adalah memerhati (Observe) keadaan sekeliling bagi memastikan kawasan berkenaan selamat, selain mengenal pasti sumber sedia ada seperti bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan peralatan kecemasan.
3-Tidak meneruskan perjalanan dalam keadaan gelap bagi mengelak risiko kecederaan dan kehilangan arah yang lebih serius. Perubahan cuaca mendadak seperti hujan lebat dan kabus tebal, faktor kesihatan seperti keletihan melampau atau kekejangan otot dan masalah komunikasi dalam kumpulan merupakan antara punca utama.
4-Pendaki yang sesat dinasihatkan supaya kekal di lokasi yang selamat dan terbuka jika mahu dikesan di udara. Isyarat dengan membentangkan kain khemah atau pakaian berwarna terang, membentuk simbol SOS menggunakan batu atau kayu dan menggunakan asap dan pantulan cahaya daripada cermin boleh membantu.
5-Bagi pencarian di darat pula, pendaki boleh meninggalkan petunjuk seperti tanda anak panah, patahan ranting atau kesan pada pokok bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan laluan.
Sebagai persediaan, setiap pendaki perlu membawa peralatan asas termasuk wisel kecemasan, pisau poket, kit kecemasan, pemetik api serta bekalan makanan dan air kecemasan.
Sumber: TikTok, Bernama, Sinar Harian