PEMERGIAN pegawai perubatan, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, dalam tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak menyentuh hati ramai.
Suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan dan memudahkan cara pengurusan jenazah isterinya dari Sarawak hingga selamat dikebumikan di Kelantan.
Menurutnya, sokongan padu daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak serta Kerajaan Negeri Kelantan amat bermakna buat mereka sekeluarga dalam mengharungi ujian berat ini.
"Takdir sudah terjadi, namun Alhamdulillah perjalanan dipermudah. Saya mendapat sokongan daripada semua, sama ada rakan-rakan yang mengenali mahupun yang tidak mengenali saya.
"Bagi saya, itu satu rezeki untuk arwah kerana mendapat sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih kepada semua termasuk pihak media," katanya.
KENANGAN BERSAMA BERMAIN DI FIKIRAN
Mengulas lanjut mengenai proses pengurusan di Sarawak, Faiz memberitahu segalanya berjalan lancar walaupun terdapat sedikit ketidaktentuan maklumat pada peringkat awal insiden.
"Namun tidak mengapa kerana semua urusan dapat diselesaikan lebih awal daripada jangkaan, termasuk proses pengecaman dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," ujarnya.
Muhammad Faiz berkata, dia reda dengan ketentuan ALLAH SWT, namun mengakui ada ketika kenangan bersama Allahyarham kembali bermain di fikiran.
Muhammad Faiz yang bertugas sebagai guru selama 13 tahun di SK Sungai Sebatu, Subis turut mendedahkan hasrat isterinya untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar tidak kesampaian.
Jelasnya, Allahyarham sudah pun menduduki ujian pertama bagi permohonan kepakaran tersebut dan dinyatakan lulus sebelum membuat permohonan rasmi.
“Sebenarnya dia datang ke Sarawak ini sebab mengikut saya yang bertugas di sini. Ketika itu permohonan penempatan di Semenanjung sudah penuh dan hanya ada kekosongan di Sabah dan Sarawak, jadi dia memilih untuk bersama saya.
“Kami memang merancang untuk berpindah bersama. Dia seorang yang amat komited, pendiam, ceria dan sentiasa profesional ketika menjalankan tugas sebagai doktor,” katanya.
'AKU SAKSI KAMU INSAN BAIK' - KENALAN
Sementara itu, rakan alumni Universitas Hasanuddin (2012), Dr Hidayati, turut berkongsi kenangan manis dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan yang berperibadi mulia sepanjang perkenalan mereka di Makassar, Indonesia.
"Selamat berehat bidadari syurga. Memori mengenalimu ketika program persatuan pelajar di Makassar satu ketika dulu cukup untuk aku menjadi saksi bahawa kamu adalah insan yang baik.
"Jarang bersendirian, kalau datang program pengajian agama di Aula Rusunawa pasti bersama rakan serumah.
"Insan yang pendiam tetapi sentiasa mesra dengan senyuman. Semoga ALLAH menggantikan tempat tinggalmu di dunia ini dengan syurga tertinggi di negeri abadi," kongsinya di Threads.
Terdahulu momen pilu pengebumian jenazah Dr Ainul Baraah di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper pada Ahad selepas solat jenazah di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, Kelantan tular sekali gus menyentuh hati rakyat Malaysia.
Sumber: Bernama, Berita RTM, Threads