Cikgu  Zulkifli ambil SPM 26 kali sejak 2011 jadi inspirasi, dedah punca tekad -'Jadi calon peperiksaan buka mata, ubah cara mengajar'

Iklan

BAGI kebanyakan pelajar, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali pun sudah cukup mencabar. Namun berbeza buat Cikgu Zulkifli Md Pungut, 58, yang bakal menduduki peperiksaan itu buat kali ke-26 tahun ini.

Pengetua SMK Simpang Renggam, Johor itu mula mengambil SPM sebagai seorang guru pada 2011 dan sejak itu, beliau menjadikan pengalaman sebagai calon peperiksaan sebagai sebahagian daripada usahanya memahami dunia pelajar dengan lebih dekat.

Iklan
Iklan

Lebih menarik, keputusan itu bukan didorong semata-mata untuk mengejar gred, sebaliknya mahu melihat sendiri perubahan format, tahap kesukaran soalan dan tekanan yang dilalui calon sebelum membawa pengalaman tersebut ke dalam bilik darjah.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Awam Universiti Malaya itu tekad untuk melakukannya demi menambah baik pendekatan pengajaran, malah membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan tenang.

Iklan

Bakal menjadi calon SPM tahun ini buat kali ke-26, bagi Cikgu Zulkifli peperiksaan bukan sekadar medan menguji pencapaian akademik, sebaliknya peluang untuk menyelami sendiri pengalaman calon dan memastikan kaedah pengajarannya kekal relevan dengan kehendak pendidikan semasa.

Iklan

"Duduk di dalam dewan peperiksaan membuka mata saya tentang tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang dialami calon.

"Pengalaman ini mengubah pendekatan pengajaran saya. Saya tidak lagi hanya mengajar tajuk dalam modul, tetapi turut memberikan tumpuan kepada teknik pengurusan masa, strategi menjawab di bawah tekanan dan pengurusan emosi," katanya kepada Bernama.

Mula menduduki SPM sebagai seorang guru sejak 2011 sebanyak dua kali setahun, Cikgu Zulkifli melakukannya kerana mahu menilai sendiri tahap kesukaran kertas soalan dan perubahan format peperiksaan, selain memahami cabaran yang dihadapi pelajar dari perspektif seorang calon.

Beliau yang memperuntukkan dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji dan menjawab set soalan sebagai persediaan turut menggunakan modul rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), soalan percubaan dan mendapatkan pandangan rakan-rakan guru Matematik sebagai rakan semakan.

Foto hiasan (Bernama)

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga berkata sepanjang 26 kali menduduki SPM, fokus utama ialah meraih keputusan yang konsisten pada gred A dan A+ bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris. 

Mengekalkan gred A+ dalam Matematik pada SPM 2026 amat penting baginya sebagai penanda aras prestasi peribadi, selain menjadi sumber inspirasi kepada pelajar. Malah guru Matematik itu sempat berkongsi tip untuk meraih keputusan cemerlang.

"Matematik bukan sekadar subjek mengira, tetapi satu bentuk latihan minda. Jangan melihat soalan yang panjang dan terus berasa gerun, sebaliknya pecahkan masalah kepada langkah-langkah kecil.

"Kuncinya ialah latihan berulang secara konsisten, membina kefahaman konsep asas dan jangan ragu-ragu untuk bertanya kepada guru," katanya.

Sepanjang 25 tahun menduduki SPM, Cikgu Zulkifli berkata antara perubahan paling ketara  ialah peningkatan penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) apabila soalan tidak lagi tertumpu kepada pengiraan rutin atau hafalan.

Katanya calon kini perlu menganalisis maklumat dan memahami konsep sebelum mengaplikasikannya dalam situasi kehidupan sebenar, termasuk pengurusan kewangan, analisis data dan statistik harian.

Kongsinya lagi, pengalaman sebagai calon SPM berulang kali turut membolehkan dirinya memahami dengan lebih dekat tekanan yang dihadapi pelajar, sekali gus membantu beliau menjadi pendidik yang lebih peka terhadap keperluan mereka.

Sumber: Bernama