'Halusinasi, dalam dunia fiksyen & fantasi...' Kes tik@m 200 kali, remaja bebas tuduhan bun*h, skizofrenia tak dirawat 5 tahun

Iklan

TENTU ramai yang masih ingat kes pilu seorang remaja perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya tahun lalu.

Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati remaja lelaki yang dibebaskan daripada pertuduhan membunuh mengalami skizofrenia yang bermula pada usia amat muda, iaitu sebelum berumur 13 tahun dan keadaan itu telah berlarutan selama lima tahun.

Iklan
Iklan

Dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan hari ini susulan pembebasan remaja itu pada 14 September lalu lepas, Hakim Adlin Abdul Majid berkata keadaan penyakit mental tersebut yang berterusan tanpa rawatan sepanjang tempoh lima tahun menjadi faktor penting yang mempengaruhi tindakannya pada masa kejadian.

Berikut adalah poin penting alasan kehakiman yang diputuskan termasuk mendapati penyakit mental yang dialami:

Iklan

1-Hakim Adlin berkata remaja yang berumur 14 tahun dua bulan ketika kejadian pada 14 Oktober 2025 telah melalui tempoh lima tahun tanpa menjalani penilaian psikiatri walaupun pernah menerima kaunseling dan pihak sekolah telah menyuarakan kebimbangan mengenai keadaannya.

2- Berdasarkan keterangan psikiatri yang tidak disangkal, pendedahan berterusan remaja itu kepada media berunsur keganasan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada gejala dan manifestasi minda yang telah terjejas akibat penyakit tersebut, dan bukannya sebagai hasil pilihan yang dibuat secara matang dan sedar.

Iklan

3-Beliau berkata keterangan pendakwaan tidak mencukupi untuk menyangkal dapatan bahawa delusi yang dialami remaja itu telah menyebabkan dia tidak mampu memahami perbuatan yang dilakukannya adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang.

5-Katanya lagi, remaja berkenaan telah memenuhi beban yang diletakkan ke atasnya di bawah Seksyen 105 Akta Keterangan untuk membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa pada 14 Oktober 2025, ketika menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan, dia akibat ketidakwarasan akal, tidak berupaya mengetahui sifat perbuatannya dan memahami bahawa tindakannya adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang sebagaimana yang dimaksudkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

6-Adlin dalam penghakimannya, berkata gejala penyakit psikotik yang bermula pada usia amat muda dan akhirnya menjadi serius itu telah dikesan sejak remaja berkenaan berusia sembilan tahun serta direkodkan sepanjang tempoh lima tahun melalui keterangan ahli keluarga, rekod sekolah dan pemerhatian guru.

7-Antara tanda-tanda yang dikenal pasti ialah kecenderungan untuk mengasingkan diri, pemikiran delusi, keengganan menanggalkan pelitup muka, kerap lewat ke sekolah akibat ketakutan dan mendengar suara yang tidak wujud.

8-Bagaimanapun, gejala yang dialami remaja itu telah ditafsirkan sebagai masalah tingkah laku atau disiplin, bukannya sebagai keadaan yang memerlukan perhatian perubatan segera.

9-Kes berkenaan turut mendedahkan sejauh mana penyakit mental yang serius boleh berkembang dalam diri seorang kanak-kanak tanpa disedari oleh orang di sekelilingnya, serta kesan buruk yang boleh berlaku apabila keadaan itu tidak dikenal pasti.

10-Adlin berharap kes itu dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, pihak sekolah, mahkamah dan masyarakat mengenai tanda-tanda serta kesan penyakit mental yang tidak dirawat dalam kalangan kanak-kanak supaya gejalanya dapat dikenal pasti dan rawatan diberikan lebih awal.

13-Keputusan itu dibuat dengan harapan keluarga lain tidak perlu melalui penderitaan yang dialami kedua-dua keluarga terbabit.

15-Mahkamah mendapati remaja berkenaan ketika itu berada dalam dunia fiksyen dan menganggap perbuatan membunuh mangsa sebagai satu pergerakan dalam permainan yang dipercayai akan memindahkan ciri-ciri mangsa kepada dirinya.

16-Adlin juga berkata remaja itu tidak percaya bahawa perbuatannya membunuh mangsa akan menyebabkan kematian dan ketika kejadian, dia berada dalam keadaan terpisah daripada realiti, iaitu apabila tindakannya tidak lagi dikawal oleh minda.

17- Difahamkan, hakim berpuas hati bahawa penyakit psikotik yang dialami remaja berkenaan pada masa itu telah menyebabkan dia tidak berupaya memahami bahawa dia sedang meragut nyawa seorang manusia yang hidup sebaliknya menganggap perbuatan itu sebagai satu fantasi terhadap objek yang terbentuk daripada delusinya sendiri.

18-Laporan Psikiatri menunjukkan bahawa ketika kejadian, remaja berkenaan percaya dirinya telah berubah menjadi satu figura seakan-akan dewa yang mempunyai hak dan tanggungjawab untuk melaksanakan keadilan seperti yang digambarkan dalam filem anime berkenaan.

19-Beliau juga berkata remaja itu bertindak di bawah pengaruh halusinasi pendengaran yang bersifat mengarah, iaitu sebagai suara yang mengawal tindakannya sebagaimana direkodkan dalam Laporan Psikiatri.

Imbas kembali 14 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan remaja itu daripada pertuduhan membunuh dan memerintahkan dia ditempatkan serta menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak atas perkenan oleh Sultan Selangor.

Terdahulu, ahli patologi mengesahkan tubuh mangsa yang berusia 16 tahun didapati mengalami tikaman sebanyak 200 kali. Terdapat luka besar dan kecil pada bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru.

Hasil siasatan polis memaklumkan suspek melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik tandas berkunci.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap individu yang berumur di bawah 18 tahun.

Sumber: BERNAMA