'Tok diam-diam daftarkan saya sukarelawan orang utan, suka peluk plushies' - Serena Mukhriz dedah sisi comel, kenangan dengan Tun Dr Hasmah

Iklan

PEMERGIAN Tun Dr Hasmah Mohd Ali memberikan kesan kepada semua. Di sebalik latar belakang gah negarawan yang menabur jasa sehingga usia satu abad, ada sudut kecil yang hanya dapat dirasai oleh insan paling rapat iaitu kehangatan kasih sayang seorang nenek.

Cucunya, Serena Mukhriz berkongsi luahan penuh menyentuh hati di media sosial sekali gus membuka tirai kenangan peribadi bersama insan tersayang yang dipanggilnya Tok.

Iklan
Iklan

Luahan yang penuh dengan rasa rindu itu menyingkap sisi peribadi arwah yang jarang diketahui ramai. Menurut Serina, arwah bukan sahaja seorang yang semula jadi penyayang dan suka bermanja dengan ahli keluarga. Malah mempunya aura hangat yang mampu membuatkan sesiapa sahaja termasuk orang asing, terasa begitu dihargai dan disayangi.

Iklan

Antara memori paling diingati Serena adalah sifat mengusik arwah neneknya itu. Menyimpan impian sejak kecil untuk melihat orang utan dengan lebih dekat, Serina tidak menyangka luahan santainya diambil serius oleh Allahyarham.

"Tanpa memberitahu saya, Tok diam-diam daftarkan saya sebagai sukarelawan di Yayasan Pulau Orang Utan di Perak selama seminggu penuh!! Haa, itulah Tok saya yang suka mengusik. Selepas itu, kami terus mencipta lebih banyak kenangan kecil bersama haiwan," titipnya.

Iklan

Serina juga mengintai kenangan dan momen-momen kecil lain. Daripada aksi nakal memberi makan itik secara bersembunyi di Hyde Park, hinggalah ke detik istimewa pada tahun 2019 hinggalah mereka berdua berpeluang menyaksikan kelahiran anak citah serta harimau di Zoo Negara.

Malah, nama Flash dan Dash haiwah yang digunakan sehingga hari ini adalah pemberian penuh makna daripada hasil sentuhan mereka berdua.

Anak kedua Datuk Seri Mukhriz dan Tok Puan Seri Utama Norzieta Zakaria itu berkongsi kebiasaan comel Tun Dr Hasmah yang gemar memeluk patung mainan atau plushies.

"Jika anda mengenali Tok, anda pasti tahu tentang patung-patung plushies. Mesti ada sahaja patung di berdekatannya… sama ada rusa, arnab, atau patung kebanggaannya yang ada butang tersembunyi yang memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran.

"Tok sentiasa ada patung untuk dipeluknya. Saya rasa saya terikut tabiat itu.

"Sekarang saya tak boleh tidur tanpa patung-patung di sekeliling saya, jadi saya rasa saya akan sentiasa mengaitkan tabiat kecil itu dengan Tok," kongsinya.

Menutup bingkisan memori bersama nenda tercinta, pemilik nama Melia Serena Mukhriz itu merakamkan rasa syukur atas peninggalan legasi arwah yang disifatkannya sebagai seorang pelopor, dermawan dan wanita cekal mengatasi pelbagai rintangan sepanjang hayat.

"Tok, Tok sangat-sangat disayangi oleh ramai orang. Semua ini masih terasa seperti tidak nyata buat saya. Saya harap saya dapat memeluk Tok buat kali terakhir dan mendengar suara Tok.

"Saya harap dapat memegang tangan Tok lagi. Tok telah hidup selama 100 tahun dan mencapai lebih banyak kejayaan daripada apa yang mampu dibayangkan oleh kebanyakan orang. Tok sangat luar biasa dalam setiap sudut.

"Dunia ini masih memerlukan Tok, tapi ALLAH telah memanggil Tok kembali kepada-NYA. Saya berdoa agar ALLAH mengurniakan Tok tempat yang tertinggi di jannah, melimpahi rahmat-NYA dan mempertemukan kita semula suatu hari nanti.

"Terima kasih atas kasih sayang seumur hidup ini, Tok. Saya berharap dapat membawa sedikit kehangatan kasih sayang Tok bersama saya ke mana sahaja saya pergi seperti yang Tok selalu katakan: "Have sweet dreams, okay?" coret Serina.

Sekadar info, Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki, selain 18 cucu dan seorang cicit.

Sumber: Instagram