PENYANYI Ameng menerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Menerusi Facebook Kesultanan Pahang, pemilik nama Wan Aminuddin Wan Ismail itu antara 32 individu yang menerima darjah kebesaran berkenaan daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-67 baginda di Istana Abdulaziz, hari ini.
Ameng menerusi Insta Story berkongsi foto bersama isterinya, Datin Sabariah Zakariah di samping Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr Badli Shah Alauddin.
Pelantun lagu Sampai Hati dan Romantis serta bekas vokalis Spring itu menerima ucapan tahniah daripada keluarga.
Turut menerima DIMP ialah bekas pemain bola sepak negara See Kim Seng dan pengulas sukan Abu Bakar Atan.
Sumber: Kesultanan Pahang