MENANG atau kalah, perhatian Tun Dr Hasmah Mohd Ali terhadap Datuk Seri Lee Chong Wei tidak pernah berubah.
Itulah antara perkara yang paling diingati jaguh badminton negara tersebut mengenai Allahyarhamah, yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya dan atlet lain, termasuk ketika mereka berdepan detik sukar dalam perjalanan sebagai wakil negara.
Bagi Chong Wei, perhatian yang diberikan bukan sekadar sokongan daripada seorang tokoh negara, sebaliknya terasa begitu dekat dan peribadi sehingga beliau menganggap Allahyarhamah seperti seorang ibu.
Malah, sejak sekian lama, Chong Wei tidak pernah dilupakan setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina apabila Tun Dr Hasmah akan menghubunginya dan menitipkan ucapan.
Apa yang lebih bermakna, perhatian itu bukan hanya diberikan selepas kemenangan.
“Tak kisah saya menang atau kalah, dia mesej (beri semangat),” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menziarahi pusara Allahyarhamah di Pusara Negara, Presint 20, pada Khamis.
Menurut Chong Wei, keprihatinan Tun Dr Hasmah turut dirasai oleh ramai atlet lain yang mengenali sisi penyayang dan prihatin Allahyarhamah.
Sikap itu juga membuatkan setiap pertemuan dan komunikasi antara mereka meninggalkan kenangan tersendiri, termasuk ketika Malaysia Open pada Januari lalu.
Ketika itu, Chong Wei dan Tun Dr Hasmah masih sempat berhubung apabila beliau menyatakan hasrat untuk hadir menyaksikan kejohanan berkenaan.
Chong Wei malah memberitahu akan menunggu kehadiran Allahyarhamah, namun dimaklumkan beliau tidak dapat hadir kerana kurang sihat.
Bagaimanapun, apa yang berlaku selepas itu benar-benar mengejutkan Chong Wei.
Walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, Tun Dr Hasmah akhirnya tetap hadir menyaksikan pertandingan berkenaan untuk memberikan sokongan kepada pasukan Malaysia.
Buat beliau, kehadiran tersebut cukup bermakna kerana ia memperlihatkan betapa besar perhatian Allahyarhamah terhadap perjuangan atlet negara.
Kehadiran itu juga menjadi antara kenangan terakhir yang akan terus disimpan oleh Chong Wei terhadap sosok yang selama ini tidak pernah berkira dalam memberikan sokongan.
Justeru, ketika hadir bersama isterinya, Datin Seri Wong Mei Choo, untuk memberikan penghormatan terakhir di pusara Allahyarhamah, kenangan terhadap segala perhatian dan kata-kata semangat itu pastinya kembali bermain di ingatan.
Bagi seorang atlet yang melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, sokongan seperti itu mungkin kelihatan kecil pada orang lain. Namun buat Chong Wei, perhatian seorang insan yang sentiasa mengingatinya ketika menang mahupun kalah meninggalkan kesan yang jauh lebih besar.