BADMINTON adalah sukan yang sinonim dengan Tun Dr Hasmah. Nama Allahyarham tidak asing dalam arena sukan itu dan memainkan peranan penting sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga 2007, termasuk ketika Malaysia mencipta sejarah menjulang Piala Thomas 1992.
Betapa istimewanya sukan tersebut dalam lipatan kenangan Dr Hasmah, beliau mengabadikan momen manis itu di dalam memoirnya, Nama Saya Hasmah. Tidak hanya berkongsi detik negara mengukir kejayaan, Dr Hasmah turut berkongsi tentang keluarga Sidek yang dibesarkan di Banting, Selangor.
Baru-baru ini, legenda perseorangan badminton negara, Datuk Rashid Sidek yang muncul menerusi Rancangan Khas: Tun Dr Hasmah Dalam Kenangan sempat mengimbas kembali detik pertama bertemu Dr Hasmah.
"Kali pertama saya berjumpa dengan beliau, waktu itu beliau isteri kepada Perdana Menteri, seorang VVIP.
"Saya teruja kerana tidak pernah berjumpa dengannya. Kami berjumpa dengannya ketika itu di sebuah majlis.
"Caranya menyapa kami dan pasukan lemah-lembut dan keibuan.
"Kami teruja dengan kata-kata semangat dan perangsang daripadanya, supaya terus berusaha serta memajukan diri," titipnya.
Terdahulu, jaguh yang memenangi gelaran Terbuka Malaysia selama tiga tahun berturut-turut pada tahun 1990, 1991, dan 1992 itu berkongsi luahannya di Instagram.
"Perginya seorang wanita yang bukan sekadar isteri kepada seorang negarawan, tetapi seorang ibu yang pernah menaungi dan menyatukan hati sebuah negara.
"Terima kasih Tun, untuk segala jasa, kasih dan nasihat yang ditinggalkan. Semoga segala kebaikan Tun menjadi amal yang terus mengalir.
"Salam Takziah buat Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh ahli keluarga," titipnya.
Terdahulu, Allahyarham Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun pada 9.20 pagi Isnin lalu ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.