PELAKON dan penyanyi Janna Nick melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang perfileman di sebuah universiti di United Kingdom (UK) dengan keputusan cemerlang.
Menerusi sebuah video yang tular, pemilik nama Nurul Jannah Muner, 31, mendedahkan dia sengaja merahsiakan perjalanan pengajiannya daripada pengetahuan umum kerana bimbang terkena penyakit ain.
Namun, pelantun lagu Gatal itu akhirnya berkongsi berita gembira tersebut selepas berjaya menamatkan pengajian dan menerima keputusan peperiksaan.
"Saya sudah pun berjaya menamatkan pengajian saya disana dengan cemerlangnya.
"Kini saya sudah habis belajar dan balik for good tetapi akan ke sana semula untuk graduation.
"Rezeki ALLAH izinkan benda itu terjadi dan ALLAH juga mempermudahkan perjalanan itu. Saya punya level takut, tak nak share fasal keputusan untuk sambung pelajaran ini sebab takut kena penyakit ain. Setahun saya tak cerita apa-apa," kongsinya.
Jelas Janna, dia juga mengambil keputusan untuk tidak berkongsi sebarang kandungan berkaitan perjalanan pengajiannya meskipun aktif menghasilkan content dan vlog.
"Sampai dapat keputusan peperiksaan, baru saya cerita. Walaupun saya selalu buat content dan vlog, saya tak kongsikan vlog saya pergi belajar So saya takut ain, sampai tahap tu.
"Memang sebab saya nak sangat. Benda yang saya nak sangat, korang takkan nampak saya buat content," kongsi Janna.
Sekadar info, Janna terdahulu ke UK bersama suaminya, Dini Schatzmann pada September 2025.
Untuk rekod, Janna dan Dini berkahwin pada 10 Jun 2023.