'Seolah-olah dia ada...' Barang milik Irene Sofiya masih tidak terusik, datuk tak sampai hati

Iklan

PILU! Hampir dua minggu pemergian Irene Sofiya, namun kenangan bersama cucu tersayang masih kuat dalam ingatan datuknya, Khyar Abas, 69, yang belum sampai hati mengusik bilik dan barangan milik remaja itu.

Mangsa yang dipercayai dibunuh rakan sekelasnya pada 3 Oktober lalu masih dirasakan kehadirannya oleh   datuknya Khyar Abas, 69.

Iklan
Iklan

Khyar berkata, mereka sekeluarga masih terbayang kehadiran Irene Sofiya di rumah, terutama apabila melihat pakaian dan bilik remaja berusia 16 tahun itu.

Malah, sehingga kini, mereka masih membiarkan semua barangan milik cucunya tanpa terusik kerana tidak sampai hati untuk mengubah keadaan bilik berkenaan.

Iklan

"Memang tidak boleh lupa. Cucu sentiasa bersama-sama saya dan isteri di rumah, jadi kehilangan ini masih sangat terasa.

Iklan

"Masih terasa seolah-olah dia ada di rumah. Bilik yang saya sediakan dan semua barang miliknya masih saya biarkan begitu sahaja kerana tidak sampai hati untuk mengusik barang arwah," katanya.

Dalam pada itu, Khyar berharap keadilan dapat ditegakkan buat Irene Sofiya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya berharap tertuduh mendapat balasan setimpal dengan apa yang dilakukan. Bagaimanapun, itu bergantung kepada keputusan pihak berwajib. Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Khyar turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan agensi kerajaan yang mengunjungi keluarganya bagi memberikan sokongan moral.

Menurutnya, mereka sekeluarga amat menghargai keprihatinan dan sokongan yang diberikan ketika berhadapan dengan kehilangan tersebut

Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Seth, Yong Peng, kira-kira 5 petang sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan itu, seorang pelajar lelaki tingkatan empat berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama