‘Suaminya baharu keluar penjara, dalam proses cerai...’ Abang dedah Norhazwani ceria, jarang kongsi masalah keluarga

Iklan
Foto: Bernama

PEMERGIAN tragis pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35 terus meruntun hati terutama ahli keluarga. 

Anak bongsu daripada sembilan beradik disifatkan oleh abangnya, Amran Ibrahim, 59, sebagai seorang yang ceria dan jarang berkongsi masalah dengan keluarga.

Iklan
Iklan

Amran yang ditemui Sinar Harian tidak dapat menyembunyikan kepiluan mengenangkan pemergian adik bongsunya itu, apatah lagi apabila dimaklumkan bahawa Allahyarham disyaki dibunuh oleh suaminya sendiri.

“Sebagai orang Islam, keluarga menerima kematian arwah, tapi tak sangka caranya begini.

Iklan

“Kira-kira jam 7.30 malam ketika saya berada di rumah, salah seorang adik lelaki saya menelefon dan memaklumkan arwah dibunuh suaminya yang telah pun menyerah diri di balai polis.

Dalam pada itu, Amran berkata, Norhazwani dan suaminya sudah tujuh tahun mendirikan rumah tangga serta dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun.

Iklan

Bagaimanapun, pasangan itu difahamkan berdepan masalah rumah tangga dan sedang dalam proses perceraian.

Sebagai orang Islam, keluarga menerima kematian arwah, tapi tak sangka caranya begini - Abang Allahyarham

“Mereka sudah tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun yang kini dijaga oleh seorang lagi adik perempuan saya di Kelantan," katanya.

“Kami tahu dia ada masalah dengan suami, tapi dia tak pernah bercerita secara terperinci kepada saya, sebaliknya lebih banyak berkongsi dengan adik lelaki saya yang lain.

Mengimbas kembali kejadian sehari sebelum pemergian Norhazwani, Amran berkata, seorang lagi adik lelakinya yang menetap di Kelantan datang bermalam di rumah Allahyarham.

Katanya, ketika itu, Norhazwani dan suaminya dilihat berada dalam keadaan biasa, malah adiknya sempat menasihati pasangan berkenaan supaya menjaga hubungan dan mengelakkan pertengkaran.

Mengenangkan kehilangan adik bongsunya, Amran mengakui keluarga amat sedih dan terkilan dengan kejadian itu, namun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut abang mangsa, suspek baharu beberapa hari dibebaskan hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan dadah (Foto: Bernama)

“Kami terlalu sedih atas apa yang berlaku, sebab dia adik bongsu kami. Memang rasa geram, tetapi kami serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

Difahamkan jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk tindakan lanjut dan akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kelantan untuk dikebumikan selepas sebaik sahaja proses bedah siasat selesai pada Sabtu.

Sementara itu, rakan sekerja Allahyarham yang enggan dikenali mengakui terkejut atas kejadian itu.

"Saya nak pergi kedai, tapi pelik tengok polis ramai di rumah arwah. Saya ingatkan kes kematian biasa, rupa-rupanya dia mati dibunuh.

"Kami pun tak tahu masalah arwah dengan suaminya kerana di tempat kerja dia biasa saja," katanya.

Media terdahulu melaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian berlaku dan memaklumkan menerima maklumat sekitar jam 8.30 malam.

Menurutnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan maklumat lanjut berhubung kes akan dikeluarkan selepas siasatan di tempat kejadian selesai sepenuhnya.

Sumber: Sinar Harian