‘Tahun ini si kecil sambut birthday daddy...’ Nelydia dedah wajah anak sulung, syukur doa di Masjid Al-Aqsa jadi kenyataan

Iklan

PELAKON Datin Nelydia Senrose berkongsi momen istimewa menyambut ulang tahun kelahiran suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid tahun ini bersama cahaya mata sulung mereka.

Menerusi perkongsian di media sosial, Nelydia turut berkongsi wajah si kecil selain mengimbas kembali kenangan ketika mereka berdoa di Masjid Al-Aqsa, Palestin, setahun lalu.

Iklan
Iklan

"Tahun lalu, kita menyambut hari lahirmu di Dome of Rock, Masjid Al-Aqsa. Saat itu begitu indah dan tidak akan pernah dilupakan kerana kita meraikan hari istimewa awak di sebuah tempat suci yang begitu dekat di hati kita. 

"Kita tidak putus-putus memanjatkan doa yang baik-baik, memohon agar ALLAH mengurniakan kebahagiaan berpanjangan, kesihatan, keberkatan dan segala yang awak impikan. Tanpa kita sedari, ALLAH telah mengatur dengan begitu indah bagaimana sebahagian daripada doa kita akan dimakbulkan.

Iklan

"Tanpa diduga, pemandu pelancong kita memanggil awak ke Mihrab Nabi Zakaria AS. Dia memberitahu kita bahawa di situlah Nabi Zakaria memanjatkan doa memohon zuriat dan ALLAH memperkenankannya dengan serta-merta.

Iklan

"Lalu, kita berdiri di situ dengan hati yang penuh pengharapan, memanjatkan antara doa yang paling tulus dalam hidup kita. Kita tidak tahu bila atau bagaimana ALLAH akan memakbulkan doa kita, tetapi kita benar-benar yakin akan keajaiban yang dikurniakan-NYA dan ketetapan waktu yang terbaik daripada-NYA.

Pemilik nama Nik Zaris Nelydia Nik Sen itu bersyukur kerana doa yang pernah dipanjatkan dengan penuh pengharapan kini menjadi kenyataan apabila mereka dapat mendakap sendiri anugerah yang sekian lama dinantikan.

"Kini, apabila mengenang kembali detik itu dan menyedari apa yang telah ALLAH tetapkan buat kita sejak awal, kenangan tersebut terasa jauh lebih istimewa. Subhanallah. 

"Masya-ALLAH, Tabarakallah. Tanpa disangka, doa yang pernah kita bisikkan dengan hati yang penuh pengharapan kini menjadi anugerah yang dapat kita dakap dalam pelukan.

Bagi Nelydia, sambutan hari lahir suaminya pada tahun ini terasa lebih istimewa apabila mereka tidak lagi meraikannya berdua, sebaliknya ditemani si kecil yang kini menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

"Tahun ini, ada si kecil yang turut sama meraikan hari lahir daddy. Percayalah, kehadirannya menjadikan segalanya terasa seratus kali lebih manis. Masya-ALLAH, sungguh indah perubahan yang boleh berlaku dalam tempoh setahun. Hati saya dipenuhi rasa syukur dan bahagia. Alhamdulillah, ya ALLAH. 

"Melihat awak menjadi seorang bapa merupakan antara kebahagiaan terbesar dalam hidup saya. Saya telah mencintaimu melalui pelbagai fasa kehidupan, tetapi ada sesuatu yang begitu istimewa tentang fasa ini. 

"Selamat hari lahir, cinta hatiku. Semoga ALLAH sentiasa melindungi hati yang begitu baik, mengurniakan rezeki yang tidak putus-putus, kesihatan yang baik dan segala kebahagiaan yang layak kecapi. 

"Awak memiliki jiwa yang begitu baik dan tulus, sayang. Saya berdoa agar kehidupan awak baik-baik sahaja, sebagaimana baiknya awak terhadap kami. Anak lelaki kita dan saya sangat bertuah kerana memiliki awak dalam hidup kami. Kami menyayangimu sampai bila-bila," coretnya.

Mengimbas perjalanan cinta mereka, Nelydia turut berkongsi bahawa tahun ini tahun kesembilan menyambut hari lahir suaminya. Daripada pasangan kekasih kepada suami isteri dan kini ibu bapa kepada seorang cahaya mata.

"Sembilan tahun lalu, itulah kali pertama saya berpeluang menyambut hari lahirmu. Kini, sembilan tahun kemudian, kita masih meraikannya, cuma kali ini bersama si kecil yang sudah boleh memanggil awak daddy.

"Alangkah bertuahnya saya kerana dapat menghabiskan tahun-tahun ini di sisi awak, mencintaimu dalam setiap fasa kehidupan dan mencipta begitu banyak kenangan bersama.

"Daripada lelaki saya cintai, awak kini menjadi suami  dan seterusnya bapa kepada anak lelaki kita. Masya-ALLAH, kalaulah kita tahu ketika itu betapa indahnya kehidupan yang sedang menanti.

"Terima kasih kerana menjadi alasan untuk saya mensyukuri kehidupan yang kita bina bersama. Semoga terus diberi peluang menyambut lebih banyak ulang tahun kelahiran, meniti usia bersama hingga ke hari tua dan menyaksikan keluarga kecil kita terus membesar.

"Saya akan tetap memilih awak dalam setiap kehidupan, sayang. Selamat hari lahir, cinta hati saya.

"Alhamdulillah kerana ALLAH menghadirkan awak dalam hidup saya, hari ini dan selama-lamanya," kongsinya.

Sekadar info, Nelydia dan Mohd Hafez berkahwin pada 6 April 2019.

Mereka menyambut kelahiran cahaya mata lelaki sulung pada 26 Julai lalu.