BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak terus memanjangkan perdebatan berkaitan konsertnya susulan isu membabitkan aktres Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora.
Siti dipercayai membuat kenyataan berkenaan selepas perselisihan antara kedua-dua selebriti itu menjadi perhatian ramai, sekali gus mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu menerusi perkongsian di media sosial menegaskan bahawa hubungan silaturahim dan sikap saling memaafkan lebih penting daripada mencari pihak yang menang dalam sesuatu perselisihan.
"Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan, dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham. Namun apabila dua insan yang berselisih sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti- bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada di luar.
"ALLAH SWT berfirman: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu." -Surah Al-Hujurat, 49:10
"Dan Rasulullah SAW mengajar bahawa tidak halal bagi seorang Muslim memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih daripada tiga malam; dan yang terbaik antara keduanya ialah yang terlebih dahulu memulakan salam. -Riwayat al-Bukhari & Muslim
"Indahnya Islam, kita tidak diajar untuk mencari siapa yang menang dalam sebuah perselisihan. Kita diajar untuk mencari jalan kembali kepada perdamaian.
"Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati," titipnya.
Dalam pada itu, Siti menasihatkan orang ramai agar menghormati keputusan pihak yang terlibat untuk berdamai dan tidak lagi mengungkit perselisihan yang berlaku.
"Apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.
"Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh, dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
"Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama seperti tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan.
"Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya. Semoga ALLAH menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita kerana akhirnya, menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada memenangkan sebuah perselisihan," coretnya.
Terdahulu, isu berkenaan menjadi bualan selepas Izara menegur pasukan Lesti yang didakwanya memilih bulu dan bersikap dingin.
Hantaran Izara berkenaan kemudian menerima balasan daripada suami Lesti, Rizky Billar dan mendakwa anaknya ditegur dengan kasar oleh pengawal peribadi pelakon berkenaan.
Sementara itu, Lesti tampil menjelaskan isu tersebut dan memohon maaf jika hal berkenaan menimbulkan rasa kurang selesa oleh mana-mana pihak.
Sekadar info, Lesti muncul sebagai artis jemputan pada konsert Siti, Gema Bumantara Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.