BUKAN mudah mengimbangi tuntutan pengajian dengan urusan perniagaan, namun sokongan keluarga menguatkan semangat Nur Ellyia Nadzirah untuk merealisasikan impiannya sebagai usahawan muda.
MEMBINA perniagaan sendiri ketika masih bergelar pelajar bukan perkara mudah. Selain perlu membahagikan masa antara kuliah dan urusan perniagaan, seseorang juga harus bersedia berdepan risiko serta keletihan demi memastikan impian tidak terkubur di tengah jalan.
Situasi itu dilalui Nur Ellyia Nadzirah binti Rajie, yang mula mengusahakan perniagaan aiskrim ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian Kimia Gunaan, Fakulti Sains Gunaan itu menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) ketika berada di semester enam pengajian.
Keputusannya memilih aiskrim sebagai produk pertama bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Selepas menyedari penghasilan produk berasaskan kimia memerlukan kepakaran lebih mendalam, beliau memilih F&B sebagai langkah awal untuk membina perniagaan sendiri.
Pengalaman berniaga secara dropship sebelum itu turut menjadi pencetus semangat. Meskipun hanya menjual produk orang lain, Nur Ellyia pernah memperoleh hasil jualan mencecah ratusan ribu ringgit.
Pengalaman tersebut membuatkannya yakin untuk melangkah lebih jauh dengan menghasilkan produk sendiri.
“Daripada situ, saya mula terfikir untuk menjalankan perniagaan sendiri dan menghasilkan produk yang saya usahakan sendiri,” katanya ketika ditemu bual.
Pada Julai 2025, beliau mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum membeli mesin membuat aiskrim.
Nur Ellyia turut mengikuti kursus khas pembuatan aiskrim yang dikendalikan oleh seorang chef terkemuka di Malaysia bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya.
Dengan dorongan kedua-dua ibu bapanya, beliau kemudian menyewa sebuah kedai di Pulau Indah, Klang, Selangor, pada November 2025.
Sebagai langkah memperkenalkan produk kepada pelanggan, sebanyak 500 batang aiskrim diberikan secara percuma pada peringkat awal perniagaan.
Kini, kedainya beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 7 malam. Perniagaan itu juga membuka peluang kepada ejen yang berminat menjual aiskrim untuk mendapatkan pendapatan sampingan.
Cabaran menguruskan perniagaan
Di sebalik perkembangan tersebut, perjalanan Wanita berusia 25 itu bukanlah sentiasa mudah. Cabaran paling besar ialah membahagikan masa antara pengajian dan perniagaan sehingga ada ketika beliau berasa terlalu penat dan hampir berputus asa.
Usaha memperkenalkan produk kepada orang ramai juga memerlukan kesabaran, terutama ketika perniagaan masih baharu.
Bagaimanapun, bantuan bapanya, Rajie, banyak meringankan beban apabila beliau perlu menghadiri kuliah dan memberi tumpuan kepada pengajian.
Sokongan keluarga menjadi kekuatan untuknya meneruskan usaha meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.
Menurut Nur Ellyia, bidang perniagaan mempunyai potensi besar, tetapi seseorang perlu bersedia menghadapi risiko dan tidak mudah menyerah apabila berdepan kegagalan.
“Dalam perniagaan, kita perlu berani mengambil risiko dan bersedia menerima kemungkinan untuk rugi. Namun, kita juga perlu bersabar kerana hasil daripada usaha yang dilakukan mungkin jauh lebih besar daripada apa yang dapat kita bayangkan,” katanya.
Impian membalas jasa ibu bapa
Baginya, kejayaan membangunkan perniagaan sendiri bukan sekadar tentang keuntungan, malah menjadi peluang untuk membalas pengorbanan kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan.
“Tanpa kedua-dua ibu bapa saya, saya tidak akan sampai ke tahap ini. Melalui usaha saya ini, saya berharap dapat membalas jasa mereka suatu hari nanti, insya-ALLA,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan tetap penting walaupun seseorang memilih untuk berniaga. Ilmu dan pendidikan menjadi asas untuk membina masa depan, manakala kesungguhan serta kesabaran membantu seseorang menghadapi cabaran.
Bagi golongan muda yang mahu memulakan perniagaan, Nur Ellyia berpesan supaya berani mencuba, bersedia menerima risiko dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan.