PEMERGIAN seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun maut selepas dipercayai mengalami kesukaran bernafas semasa berada dalam kelas di sebuah sekolah di Dengkil, semalam disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman.
Laporan berhubung kejadian itu diterima oleh pihak polis, pada 7.30 malam semalam.
“Mangsa dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas sebelum diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bedah siasat telah dijalankan di Hospital Putrajaya pada 8 pagi tadi dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar berkaitan kejadian berkenaan,” katanya.
Pihak mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor T Vishno Kumar menerusi talian 011-11021528 bagi membantu siasatan.
ANAK BONGSU DALAM KELUARGA
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh menerusi perkongsiannya di Facebook berkongsi telah menziarahi keluarga kanak-kanak berkenaan.
"Dengan hati yang amat sayu, saya merakamkan ucapan takziah buat sekeluarga atas pemergian mengejut anak bongsu tercinta, yang baru berusia tujuh tahun.
"Sejurus menerima berita yang amat menyedihkan ini, saya terus bergegas ke Hospital Putrajaya untuk bertemu dan memberikan sokongan moral kepada keluarga. Difahamkan, sekitar jam 5.00 petang semalam, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di sekolah. Punca sebenar kejadian ini masih menunggu pengesahan pihak berkenaan.
"Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda merupakan ujian yang amat berat buat ibu dan bapa. Tiada kata-kata yang mampu mengubati luka kehilangan ini, apatah lagi apabila seorang anak yang menjadi penyeri keluarga pergi secara tiba-tiba. Tabahkan hati dan kuatkanlah semangat ibu bapanya," kongsinya.
Terdahulu, tular mengenai insiden pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Dengkil itu yang didakwa tercekik makanan dan tidak berjaya diselamatkan.
Sumber: Sinar Harian, Facebook