PENYANYI Aiman Tino menitipkan ucapan penuh kasih buat isterinya, Syarah Haifa sempena ulang tahun kelahiran wanita yang menjadi teman hidupnya itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, pemilik nama Mohammad Aiman Yusri, 28, itu meluahkan rasa syukur kerana memiliki seorang isteri yang menerima dirinya seadanya dan sentiasa berada di sisinya dalam apa jua keadaan.
Tiga tahun berkongsi hidup, pelantun lagu Ku Rela Dibenci dan Ku Hanya Sayang Padamu itu turut mengakui dia bukan lelaki sempurna, namun berjanji akan terus berusaha menjadi suami terbaik buat insan tersayang.
“Terima kasih kerana hadir dalam hidupku, menerima segala kekuranganku dan tetap berdiri di sisiku walau apa sekalipun yang melanda.
“Aku mungkin bukan lelaki yang sempurna, bukan juga suami yang mampu memberikan segala-galanya, tetapi percayalah, selagi aku masih bernafas, aku akan terus berusaha menjadi lelaki yang terbaik untukmu,” tulisnya.
Lebih menyentuh hati, Aiman turut mengakui kehidupan berumah tangga tidak selalunya mudah kerana setiap pasangan pasti berdepan ujian dan cabaran tersendiri.
Bagaimanapun, penyanyi itu menegaskan dirinya tidak akan mudah mengalah dalam mempertahankan ikatan cinta yang dibina bersama Syarah.
“Aku tak mampu menjanjikan hidup kita akan sentiasa mudah. Akan ada hari kita diuji, ada masa kita penat dan mungkin ada ketika air mata lebih banyak daripada tawa.
“Tetapi satu perkara yang aku mahu kamu tahu, aku tak akan mudah melepaskan tangan yang telah aku genggam dengan penuh cinta ini,” katanya.
Dalam masa sama, Aiman menyifatkan Syarah sebagai wanita yang dicintai, isteri yang dihargai dan teman hidup yang ingin dibawa hingga ke syurga.
“Hari ini, esok, hingga ke akhir hayatku, kaulah wanita yang aku cintai, isteri yang aku hargai dan teman hidup yang ingin aku bawa hingga ke syurga,” ujarnya.
“Semoga ALLAH membuka pintu rezekimu seluas lautan dan mencurah-curah seperti air zam-zam yang tidak pernah berhenti.
“Happy birthday sayang,” tulisnya mengakhiri ucapan.
Untuk rekod, Aiman dan Syarah mendirikan rumah tangga pada 27 April 2023.