NAMA Mila Jirin bukan asing dalam industri hiburan tempatan namun selepas sekian lama memberi tumpuan kepada dunia perniagaan membina empayar perniagaan katering dan dewan perkahwinan, juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu kini kembali ke pentas nyanyian.
Di sebalik kepulangannya ke pentas seni, pemilik nama Norsyarmilla Jirin, 38, itu mengakui suaminya, tidak begitu bersetuju apabila dia menyuarakan hasrat untuk meneruskan kerjaya seni apatah lagi ketika itu dia masih menyusukan anak.
“Sebenarnya pada awalnya, suami saya memang tak berapa setuju untuk saya kembali menyanyi.
“Waktu itu anak saya kecil lagi. Jadi, sebab saya pula menyusukan anak waktu itu. Jadi, suami saya minta saya fokus kepada anak kami,” katanya kepada SinarPlus.
Bagaimanapun, minat terhadap dunia nyanyian tidak pernah benar-benar padam. Malah, ketika menguruskan perniagaannya, Mila masih berpeluang menyanyi secara spontan apabila diminta oleh pelanggan yang berkunjung ke Dewan Bizmilla.
Situasi itu secara tidak langsung membuka mata suaminya, Isz Mustapha tentang betapa besarnya kecintaan Mila terhadap bidang nyanyian.
“So, dia nampak. Dia cakap apabila saya on stage, saya jadi seorang yang macam very lively. I mean like enjoy on stage,” katanya.
Menurut Mila, keadaan mula berubah apabila dia sekali lagi menyuarakan hasrat untuk menghasilkan lagu baharu pada tahun ini, ketika anak mereka juga sudah semakin membesar.
Lebih bermakna, suaminya bukan sahaja memberi restu, malah menghadiahkan mikrofon sebagai tanda sokongan terhadap langkah baharunya dalam bidang nyanyian.
“So, dia nampak benda tu. Dan bila Mila approach dia pada tahun ini untuk keluarkan single terbaru dan anak pun dah besar, so, dia memberi restu dan masya-ALLAH, siap bagi mikrofon kepada saya.
"Pada saya itu adalah satu bentuk support atau sokongan secara tak langsung.
“Apabila dia beri mikrofon kepada saya tu, saya ambil sebagai dia bagi sokongan.
“Cuma, dia pesan pada saya, kalau nak buat, buat betul-betul. Itu apa yang dia pesan pada saya,” ujarnya.
Pelantun lagu Tersimpan Dalam Hati itu juga menganggap peluang kembali ke pentas besar hadir pada waktu yang tepat. Selepas melancarkan lagu baharu, ibu kepada seorang cahaya mata itu juga merancang untuk menghasilkan album pada 2027.
“Sebenarnya, sebagai seorang anak seni, memang Mila sangat rindu untuk berada di pentas-pentas besar.
“Dan right timing sebab ni Mila baru lancarkan lagu terbaru. Dan insya-ALLAH pada tahun 2027, Mila akan lancarkan album terbaru,” katanya ketika ditemui SinarPlus pada majlis pelancaran Gegar Vaganza Fantasia baru-baru ini.
Mila dalam masa yang sama berharap platform GVF membantu memperkenalkan semula dirinya kepada peminat selain mendekati generasi baharu.
Mengulas persediaannya menerima komen dan kritikan daripada barisan juri, Mila mengakui dia bersyukur kerana sudah mempunyai pengalaman menyertai program realiti sebelum ini.
“Bersedia atau tidak untuk menerima komen-komen daripada juri, Mila sangat bersyukur sebab Mila pun memang lahir daripada program realiti. Jadi, kita dah biasa. Lepas yang ni, kena dengar penjurian.
“Jadi, tak adalah rasa benda itu luar biasa. Cuma, perlu siapkan mental.
“Bagi saya, juri-juri sangat berpengalaman. Punya pengalaman hampir 13 tahun di Gegar Vaganza. Mila nak jadi seorang yang seperti gelas yang kosong untuk menerima (kritikan),” katanya.
Mila bakal berentap dengan bakal berentap di pentas GVF bersama 12 lagi juara Akademi Fantasia.
Sekadar makluman, program berkenaan bakal ditayangkan secara langsung pada 9 November ini, jam 9.00 malam di Astro Ria atau distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.