Usia 22 tahun raih tempat kedua dunia dalam ACCA, Julia Qiestyna kongsi rahsia kejayaan – ‘Ibu penyokong dan sumber inspirasi’

Iklan

BERANI memilih laluan yang asing memang bukan mudah, apatah lagi apabila perlu mengejar rakan lain yang sudah mempunyai kelebihan dari awal. Namun, bagi Julia Qiestyna, kekurangan pengalaman bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk membuktikan kemampuan diri.

Pada usia 22 tahun, graduan Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berjaya meraih tempat kedua di dunia dan Malaysia bagi kertas Advanced Performance Management (APM) dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Iklan
Iklan

Pencapaian tersebut cukup bermakna buat anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Johor itu, lebih-lebih lagi apabila bidang perakaunan bukan sesuatu yang dipelajarinya secara mendalam ketika di bangku sekolah.

Berkongsi kisahnya ketika ditemu bual sempena Istiadat Konvokesyen Ke-105, Julia berkata, perjalanan tersebut bermula selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), apabila beliau mengikuti program Foundation in Accountancy (FIA) sebelum meneruskan pengajian ACCA menerusi laluan pantas.

Iklan

Keputusan itu dibuat walaupun beliau merupakan pelajar aliran sains ketika di sekolah menengah. Perbezaan latar belakang tersebut menyebabkan Julia perlu berusaha lebih keras untuk memahami asas perakaunan dan menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran baharu.

“Pada awalnya, saya memang tidak mempunyai asas perakaunan dan agak sukar untuk mengejar rakan-rakan lain yang sudah mempelajari subjek itu selama dua tahun di sekolah menengah.

Iklan

“Namun, dalam tempoh enam bulan, saya berjaya memahami konsep asas perakaunan dan mula membina keyakinan untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Julia Qiestyna bersama Dr Adibah Jamaluddin (gambar kiri) dan ketika penyampaian sijil ‘Excellent Awards’ oleh Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Norli Ali (gambar kanan).

Latihan kunci kejayaan

Bagi Julia, pencapaian dalam peperiksaan profesional seperti ACCA bukan sekadar bergantung pada kebolehan mengingati fakta. Pelajar perlu memahami kehendak soalan, menguasai teknik menjawab dan tahu mengaplikasikan ilmu dalam situasi yang diberikan.

Memandangkan prestasi peperiksaan akhir memainkan peranan besar, persediaan rapi menjadi antara perkara yang diberi perhatian sepanjang pengajian.

Julia banyak melakukan latihan dan meneliti skema jawapan yang disediakan ACCA bagi membantunya memahami pendekatan yang diperlukan untuk menjawab soalan dengan lebih berkesan.

Usaha itu turut membuahkan hasil apabila beliau menerima Prize Winner Award bagi kertas FA1 pada semester pertama program FIA.

Walaupun tidak memperoleh anugerah berkenaan dalam beberapa semester berikutnya, wanita bersemangat waja itu tetap meraih pengiktirafan dalaman UiTM sebelum kembali menerima Prize Winner Award pada semester terakhir pengajian.

Menurutnya, anugerah tersebut diberikan kepada calon yang memperoleh antara markah tertinggi di dunia bagi kertas peperiksaan tertentu. Bagi kertas APM, beliau berjaya menduduki tempat kedua berdasarkan markah yang diperoleh.

Di sebalik pencapaian akademik itu, Julia turut mengakui ibunya yang pernah bekerja sebagai akauntan memainkan peranan penting dalam perjalanan tersebut.

Sosok ibu menjadi sumber inspirasi untuknya terus mendalami bidang perakaunan, selain mendorong Julia memberikan yang terbaik dalam pengajian. Beliau berharap kejayaan yang diraih dapat membanggakan insan yang sentiasa menyokongnya itu.

Tajaan MARA ringankan beban

Selain persediaan akademik, kos pengajian juga antara perkara yang perlu dipertimbangkan oleh mereka yang berhasrat mendapatkan kelayakan ACCA.

Julia menjelaskan, yuran pengajian berbeza mengikut kertas peperiksaan dan menggunakan kadar pertukaran mata wang pound sterling.

Bagaimanapun, tajaan serta elaun daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu meringankan beban kewangan sepanjang pengajiannya.

Buat pelajar yang sedang mengikuti ACCA, Julia berpesan supaya tidak mudah berputus asa sekiranya perjalanan mereka mengambil masa lebih panjang daripada yang dirancang.

“Setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza. Tidak mengapa jika mengambil masa lebih lama untuk menamatkan pengajian. Yang penting, jangan berputus asa dan pastikan kita mempunyai sistem sokongan yang baik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pelajar supaya memberikan tumpuan kepada pembelajaran tanpa mengabaikan kesihatan diri.

Kini, Julia memulakan kerjaya sebagai Audit Associate di PwC Malaysia. Fasa baharu itu dianggap peluang untuk terus menimba ilmu, memperkukuh kemahiran dan membiasakan diri dengan persekitaran profesional.

Baginya, pencapaian yang diraih bukan penamat perjalanan, sebaliknya permulaan kepada satu lagi fasa pembelajaran. Kisahnya membuktikan bahawa seseorang tidak semestinya perlu bermula dengan kelebihan untuk mencapai sesuatu yang membanggakan, asalkan sanggup berusaha dan tidak berhenti mempercayai kemampuan diri.