PERBEZAAN agama dan latar belakang bukan penghalang untuk sesebuah keluarga menjalinkan hubungan yang akrab, malah kasih sayang serta rasa hormat mampu menjadi pengikat silaturahim.
Perkara itu dikongsikan pendakwah, Ustaz Elyas Ismail menerusi satu hantaran di media sosial yang memaparkan kemesraan bersama keluarga sebelah isterinya, Nurul Amani Mohammad Tain.
Sempena sambutan Deepavali, peluang bertemu keluarga mentuanya kerana layanan dan sambutan yang diberikan sentiasa memperlihatkan keikhlasan.
"Inilah keluarga saya.
"Mungkin ada yang baru kenal keluarga mertua saya berbangsa India dari Sabak Bernam. Alhamdulilah paling terharu setiap kali jumpa kami sangat rasa keikhlasan mereka melayan dan menyambut kami," tulisnya.
Lebih menyentuh hati, silaturahim yang terjalin turut terserlah apabila ada dalam kalangan mereka sanggup datang dari jauh, termasuk dari Terengganu, setiap kali berlangsungnya majlis keluarga.
Bagi Elyas, perkara itu mencerminkan nilai kasih sayang yang diajar dalam Islam, iaitu saling mengasihi dan menyayangi ahli keluarga meskipun berbeza agama.
"Kalau ada majlis keluarga, jauh dari Terengganu pun sampai juga. Begitulah Islam mengajar kita mengasihi menyayangi keluarga walau berbeza agama..
Hantaran beliau menerima ucapan Deepavali daripada warganet. Rata-rata terharu dengan keindahan ukhuwah antara mereka. Malah ada yang tidak menyangka isterinya berbangsa India sehinggalah kisah keluarga itu didedahkan.
Perkongsian tersebut memperlihatkan bahawa hubungan kekeluargaan tidak semestinya dibatasi perbezaan latar belakang.
Sebaliknya, sikap saling menghormati, keikhlasan dan kesediaan menerima antara satu sama lain menjadi antara asas penting dalam membina hubungan yang harmoni.