PEMPENGARUH Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih mesra disapa Dr Fie menitipkan luahan penuh makna selepas majlis resepsi perkahwinannya bersama suami, Kapten Amrul Nizar Anuar.
Menerusi perkongsian di media sosial, doktor pergigian itu mengingatkan bahawa ALLAH SWT sentiasa mengetahui setiap kesukaran yang dilalui seseorang meskipun tidak diluahkan kepada sesiapa.
Menurutnya, ketika berdepan kehidupan yang terasa semakin berat, perkara paling utama adalah kembali meletakkan hati dan kebergantungan kepada ALLAH.
“Apabila dunia terasa terasa berat, kembalilah kepada ALLAH dengan sepenuh hati. DIA yang mengetahui segala perjuangan yang tidak pernah kamu ceritakan dan doa-doa yang kamu bisikkan dalam diam,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Dr Fie turut merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang sudi meluangkan masa menghadiri majlis resepsi mereka.
Namun, perhatian khusus diberikan kepada kedua-dua belah keluarga yang disifatkan sebagai individu penting dalam menjayakan hari bahagia berkenaan.
Malah, dia mengakui segala persiapan dan kelancaran majlis tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan serta bantuan keluarga.
Terdahulu, Dr Fie selamat mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Kapten Amrul Nizar Anuar dalam majlis akad nikah yang berlangsung pada 1 November lalu.
Pasangan berkenaan disatukan dengan sekali lafaz, Dr Fie menerima mas kahwin berupa satu dinar emas.
Untuk rekod, Dr Fie pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Nubhan Ahamad pada Ogos 2015 sebelum bercerai talak dua pada Disember 2025.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sumber: Threads