BUKAN mudah menerima hakikat kehilangan insan yang selama ini menjadi tempat bergantung, lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak perkara yang masih ingin dikongsikan bersama.
Itulah perasaan yang diluahkan pendakwah selebriti, PU Amin sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36.
Menerusi satu hantaran di Instagram, PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim itu mengenang pengorbanan arwah bapanya. Tiga tahun menjalani kehidupan tanpa figura seorang ayah bukan sesuatu yang mudah.
Lebih menyentuh hati, PU Amin turut mengimbau momen bermakna ketika mula menerima gaji hasil titik peluh sendiri bersama bapa tersayang.
"Terima kasih ayah sebab jaga Amin sampai umur 33 tahun. Hari ni 11.11 ayah, amen dah pun 36 tahun. Tiga tahun ni, Amin hidup tanpa ayah, tiga tahun yang berat.
"Banyak benda nak buat, nak rancang tapi tak ada orang nak bagi jalan. Kadang Amin cakap sorang-sorang macam ayah depan Amin. Banyak ALLAH bagi tiga tahun ni Amin nak kongsi dengan ayah, sebab ayah selalu jadi orang pertama yang akan tahu apa Amin bawa balik.
"Tiap kali gaji, ayah jadi orang pertama Amin suapkan makanan yang Amin beli daripada gaji," ujarnya.
Meskipun reda dengan ketentuan ALLAH SWT, pendakwah muda itu mengakui kehilangan bapa meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan. Malah, kunjungan ke pusara dan doa antara cara berkesan untuk mengubat kerinduan.
"Tiga tahun ni kosong rasanya. Amin reda ayah. Tapi, Amin masih perlukan ayah. Di hari yang istimewa ini, Amin doakan ayah aman dan selamat di alam baqa’.
"Amin selalu pergi kubur ayah. Doa hari hari Amin baca. Itulah cara untuk legakan rindu yang tak pernah padam ni. Ayah terima kasih atas segalanya. Terima kasih sebab jaga Amin sampai Amin besar. Belum sempat Amin balas semua nya. Kita jumpa nanti ayah. Amin tak lupa ayah," kongsinya lagi.
Sekadar info, PU Amin yang merupakan bekas peserta program realiti Pencetus Ummah 2015 kehilangan bapa tersayang pada 28 September 2023 akibat radang paru-paru.
Sumber: Instagram