'Umi doakan, Sarah takut' – Ustazah Asma’ dengar luahan anak, titip 3 pesanan dan doa buat calon SPM

Iklan

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia sudahpun bermula. sudah pun bermula, pastinya ramai calon berdepan debaran dan kebimbangan ketika melangkah ke dewan peperiksaan.

Antaranya anak kepada pendakwah, Ustazah Asma’ Harun yang dikenali sebagai Sarah, apabila meluahkan rasa takut kepada ibunya menjelang peperiksaan berkenaan.

Iklan
Iklan

“Umi, doakan Sarah ya. Sarah takutlah, lagi beberapa hari je nak SPM…”

Sebagai ibu, Ustazah Asma’ tidak sekadar memberikan kata-kata semangat, sebaliknya menitipkan tiga pesanan penting buat anaknya sebagai bekalan menghadapi peperiksaan berkenaan.

Iklan

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau mengambil kesempatan untuk mengingatkan anaknya supaya melihat SPM bukan hanya sebagai medan mengejar keputusan cemerlang, tetapi juga ruang untuk memperbaiki diri dan mendekatkan hubungan dengan ALLAH SWT.

Iklan

1. Bersyukur masih mempunyai ibu bapa

Pesanan pertama Asma’ adalah supaya Sarah sentiasa bersyukur kerana masih mempunyai umi dan abi yang boleh menjadi tempat mengadu, mendapatkan semangat serta memohon doa.

Beliau turut mengingatkan bahawa bukan semua calon SPM berpeluang menikmati sokongan sedemikian, khususnya mereka yang sudah kehilangan ibu bapa.

“Sarah, cuba bayangkan. Sarah masih ada umi dan abi yang sentiasa doakan Sarah, beri semangat dan dorongan.

“Tapi di luar sana, ada anak-anak yang sedang menghadapi SPM seperti Sarah tetapi mereka kehilangan ibu, ayah, bahkan ada yang yatim piatu.

“Mereka juga takut dan bimbang. Tidak ada ibu atau ayah yang boleh mereka peluk untuk mengadu, yang boleh dicari untuk meminta semangat,” titipnya.

2. Betulkan niat belajar kerana ALLAH

Pesanan kedua pula menyentuh soal niat dan tujuan menuntut ilmu.

Ustazah Asma’ mengingatkan anaknya agar belajar bersungguh-sungguh bukan semata-mata mahu menggembirakan ibu bapa, sebaliknya dengan niat menjadi hamba ALLAH yang berilmu, beramal dan memberi manfaat kepada agama.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa ibu bapa hanya mampu memberikan dorongan dan doa, sedangkan segala kefahaman, kekuatan ingatan dan ketenangan hati datang daripada ALLAH SWT.

“Sebab itu, jangan pernah rasa cukup dengan hasil usaha kita sendiri sehingga kita lupa meminta pertolongan ALLAH. Moga ALLAH bantu Sarah dalam setiap urusan,” katanya.

3. Sentiasa berdoa, mohon perlindungan daripada kelemahan diri

Tidak kurang penting, Ustazah Asma’ turut mengingatkan anaknya agar sentiasa berdoa dan memohon petunjuk terutama ketika berdepan cabaran serta kelemahan diri.

Beliau berkongsi doa yang sering diamalkan untuk semua anaknya, iaitu:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Ya ALLAH, ilhamkanlah kepadaku petunjuk yang benar dan lindungilah aku daripada kejahatan diriku sendiri.”

(Riwayat al-Tirmizi, no. 3483)

Jelasnya, doa berkenaan mengingatkan seseorang agar sentiasa memohon petunjuk dan perlindungan ALLAH, termasuk daripada kelemahan diri sendiri.

Ini kerana ada kalanya perkara yang menghalang seseorang daripada mencapai kejayaan bukan disebabkan orang lain, sebaliknya sikap diri yang suka bertangguh, malas, terlalu selesa dan mudah berputus asa.

Dalam masa yang sama Ustazah Asma' turut menasihatkan anaknya supaya tidak cepat menganggap diri tidak mampu sebelum berusaha bersungguh-sungguh.

Dalam perkongsian sama, Asma’ turut menitipkan kata-kata semangat buat semua calon SPM, khususnya mereka yang terpaksa menghadapi peperiksaan tanpa kehadiran ibu atau ayah di sisi.

Beliau mendoakan agar setiap calon diberikan kekuatan, ketenangan hati dan semangat untuk menghadapi peperiksaan meskipun melalui pelbagai kekurangan serta cabaran.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya terus menjadi tempat anak-anak mendapatkan kekuatan, selain mengelakkan tekanan berlebihan yang boleh membuatkan mereka takut untuk berdepan kegagalan.

"Ya ALLAH, bantulah anakku Maisarah dan semua anak-anak yang bakal menduduki SPM. Kurniakan ketenangan hati, lapangkan akal fikiran, kuatkan ingatan dan berkatilah segala usaha mereka. Kurniakan kejayaan yang terbaik untuk dunia dan akhirat mereka. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin."

Sekadar info, peperiksaan bertulis SPM 2026 bakal bermula 23 November hingga 17 Disember 2026 depan, melibatkan 420,879 calon di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.