PU Riz didik Bilal tentang ilmu makanan halal, anak Neelofa itu siap titip ucapan terima kasih buat Dr Zulkifli

Iklan

ISU pemilihan makanan halal bukan sekadar perkara yang perlu difahami orang dewasa, malah wajar diterapkan kepada anak-anak sejak kecil.

Perkara itu dapat dilihat menerusi perbualan santai anak sulung pasangan selebriti, Neelofa dan Haris Ismail, Muhammad Bilal yang menunjukkan keprihatinan terhadap isu penyembelihan ayam mengikut hukum syarak.

Iklan
Iklan

Menerusi video yang dikongsikan Haris atau mesra disapa PU Riz di media sosial, Bilal mencuri perhatian apabila menyampaikan ucapan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan kerana mengambil berat tentang isu penyembelihan dan pengendalian haiwan sembelihan.

Iklan

Lebih menarik, kanak-kanak itu turut mengemukakan pertanyaan kepada bapanya mengenai usaha pemantauan bekalan ayam halal yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Terima kasih Dr Zul kerana mengambil berat mengenai ayam halal. Adakah Dr Zul memantau?” katanya.

Iklan

Menjawab persoalan tersebut, Haris menjelaskan Dr Zulkifli sudah menjalankan pemantauan serta semakan terhadap premis penyembelihan bagi memastikan aspek berkaitan halal diberi perhatian.

“Ya, Dr Zul sudah memantau dan tak silap, beliau telah membuat pemantauan terhadap premis penyembelihan,” ungkapnya.

Dalam video berdurasi lebih enam minit itu, Haris turut mengambil kesempatan menerangkan kepada anak lelakinya tentang kepentingan memilih makanan yang halal dan baik untuk dimakan.

Menurutnya, perkara tersebut bukan sekadar berkaitan sumber makanan, sebaliknya turut menjadi tuntutan agama yang perlu dipatuhi oleh setiap Muslim.

“Apa yang ingin abah katakan, Bilal perlu mengambil makanan yang halal. Dalam surah yang abah kongsikan, ALLAH meminta setiap insan untuk memilih makanan yang halal dan toyyiban,” jelasnya lagi.

Perkongsian berkenaan secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana ibu bapa boleh memanfaatkan perbualan harian untuk mendidik anak mengenai nilai agama serta kepentingan membuat pilihan yang betul dalam kehidupan.

Isu pemantauan premis penyembelihan ayam

Terdahulu, Dr Zulkifli menjelaskan tentang premis penyembelihan ayam yang disyaki beroperasi tanpa permit dan kelulusan pihak berkuasa tempatan tidak termasuk dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hal ini kerana premis terbabit tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pemeriksaan awal turut mendapati lokasi berkenaan menjalankan aktiviti pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa kelulusan berkaitan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan JAKIM pernah mengambil tindakan terhadap beberapa kes sebelum ini, termasuk mengenakan kompaun berjumlah RM40,000 kepada tiga syarikat kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Terdahulu, pada 30 Oktober lalu, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak serta keperluan pensijilan halal dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang di Puchong, Selangor.

Operasi dikenali sebagai Ops Taring Chiller itu turut membawa kepada penahanan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.