'Abang paling baik, hati lembut' – Rita Rudaini sebak kenang pemergian abang sulung, layan anak-anak seperti darah daging sendiri

Iklan

PEMERGIAN insan tersayang pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan, apatah lagi apabila individu itu merupakan tempat bergantung dan antara insan paling dekat dalam kehidupan.

Begitulah perasaan pelakon, Rita Rudaini yang masih berduka selepas kehilangan abang sulungnya, Ahmad Musyaiful Mokhtar, yang meninggal dunia pada usia 51 tahun.

Iklan
Iklan

Menerusi satu luahan penuh emosi, Rita menyifatkan Allahyarham sebagai seorang abang yang sangat baik, berhati lembut dan sentiasa mengutamakan keluarga.

Lebih menyentuh hati, pelakon berusia 50 tahun itu turut mengenang sikap abangnya yang tidak pernah gemar menyusahkan ibu mereka, malah sentiasa mendengar nasihat wanita yang melahirkan mereka.

Iklan

"Ka tak tuggu orang sampai dulu, Ka abang orang paling baik. Hati paling lembut, dengar cakap mama. Berbanding orang suka menjawab, Ka anak paling baik, tak suka susah kan kami," kongsinya.

Iklan

Bukan itu sahaja, Rita turut menzahirkan penghargaan terhadap kasih sayang Allahyarham kepada dua cahaya matanya.

Menurutnya, Allahyarham tidak pernah membezakan kasih sayang, malah melayan dan menjaga dua orang anaknya seperti darah daging sendiri.

"Ka ada bila orang perlu. Ka layan dan jaga anak-anak orang macam anak Ka sendiri. Ka tidak pernah pilih kasih, orang bangga ada abang macam Ka," kongsinya.

Dalam perkongsian sama, Rita turut meluahkan betapa berat hatinya menerima hakikat kehilangan insan yang cukup bermakna itu.

"Selamat jalan ke negara abadi, selamat pulang pd kekasih abadi. Orang rindu Ka sangat-sangat," titipnya.

Terdahulu, Allahyarham Ahmad Musyaiful dilaporkan rebah ketika menyertai aktiviti sukan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Kelana Jaya, sempena persiapan Pesta Sukan Kementerian Kewangan.

Allahyarham yang merupakan pegawai kastam tinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di JKDM Perlis disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut laporan Sinar Harian, Allahyarham dipercayai mengalami serangan jantung dan mempunyai sejarah mendapatkan rawatan berkaitan penyakit berkenaan.

Pemergian itu pastinya meninggalkan kenangan tersendiri buat Rita dan seluruh keluarga, apatah lagi apabila kasih sayang seorang abang yang sentiasa ada ketika diperlukan tidak mungkin dapat digantikan.

Sumber: Instagram