ISTERI pelawak dan pelakon, Achey Bocey iaitu Nur Hasanah Yahaya berkongsi berita gembira apabila disahkan hamil selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.
Menerusi hantaran di laman sosial, Nur Hasanah yang mesra disapa Anne berkongsi momen ketika menerima pengesahan daripada pakar di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
Menurut Anne, perjalanan mereka untuk memperoleh zuriat bukan sesuatu yang mudah, malah pasangan itu tidak pernah berhenti menyimpan harapan dan berdoa.
"Bukan sehari dua kami menunggu. Bukan setahun dua kami berharap. Tetapi selama 15 tahun, kami menyimpan impian yang sama.
"Ada doa yang tidak pernah putus walaupun berkali-kali diuji. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi kami percaya setiap yang Allah aturkan pasti ada hikmahnya.
"Akhirnya ada nyawa kecil yang sedang membesar dalam rahim ini. Hadiah terindah daripada ALLAH, yang tidak mampu kami ungkapkan dengan kata-kata," kongsinya.
Lebih menyentuh hati, Achey dilihat melakukan sujud syukur di ruang klinik sejurus mengetahui berita gembira itu. Turut berada di sisi ialah anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah.
Anne turut berkongsi sedutan video ketika berdoa di hadapan Kaabah, memohon agar dikurniakan rezeki zuriat.
Dalam masa sama, pasangan itu merakamkan penghargaan kepada doktor dan semua pihak yang tterlibat dalam rawatan berkenaan.
"Terima kasih Ya ALLAH kerana tidak pernah mensia-siakan doa hamba-MU dan terima kasih pada Dr Haris Hamzah, Alhaya Fertility dan pada semua yang banyak memberi semangat kepada kami. Syukur Ya ALLAH," tulisnya.
Untuk rekod, Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada 2011.