Ernie Zakri kongsi pentas dengan Emmanuel Macron, nyanyi La Vie En Rose bersama Presiden Perancis – ‘Kenangan yang saya hargai sepanjang hayat’

Iklan

BUKAN calang-calang peluang apabila seseorang anak seni diberi ruang mempersembahkan bakat di hadapan pemimpin negara asing, apatah lagi apabila berpeluang menyanyi bersama individu berkenaan. Itulah pengalaman istimewa yang bakal terpahat sebagai antara kenangan paling bermakna dalam perjalanan seni penyanyi, Ernie Zakri.

Menerusi satu majlis jamuan tengah hari rasmi, Ernie mendapat penghormatan mendendangkan lagu klasik Perancis, La Vie En Rose, bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Iklan
Iklan

Momen istimewa itu berlangsung dalam majlis yang dihoskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersempena lawatan rasmi dua hari Presiden Perancis ke Malaysia.

Iklan

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, kesempatan tersebut menjadi pengalaman berharga buat Ernie apabila dapat berkongsi pentas dengan pemimpin tertinggi negara berkenaan menerusi sebuah karya yang cukup sinonim dengan identiti muzik Perancis.

Bagi penyanyi yang dikenali dengan keistimewaan vokalnya itu, peluang berkenaan bukan sesuatu yang mudah dilupakan. Apatah lagi, La Vie En Rose merupakan lagu klasik yang membawa nilai sentimental tersendiri dalam dunia muzik antarabangsa.

Iklan

Mengulas pengalaman tersebut, Ernie menyifatkan peluang beraksi di hadapan Emmanuel sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan kerjayanya.

“Diberi penghormatan untuk membuat persembahan di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, merupakan detik yang amat bermakna dalam perjalanan seni saya.

“Peluang menyanyikan ‘La Vie En Rose’ bersama beliau menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan akan kekal sebagai kenangan yang saya hargai sepanjang hayat.

“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa suara dan seni Malaysia ke pentas ini,” katanya.

Pengalaman itu pastinya membawa makna tersendiri buat Ernie yang bukan sahaja berpeluang memperlihatkan kemampuan vokalnya, malah turut membawa nama seni tanah air ke dalam sebuah acara rasmi bertaraf antarabangsa.

Dalam masa sama, pemilihan lagu La Vie En Rose menjadikan persembahan tersebut lebih signifikan apabila karya klasik Perancis itu menjadi medium yang menghubungkan dua negara menerusi bahasa muzik.

Sesungguhnya, ada pengalaman yang nilainya tidak terletak pada kemeriahan pentas atau tepukan penonton, sebaliknya pada keistimewaan peluang yang diberikan.

Buat Ernie, detik menyanyikan lagu berkenaan bersama Presiden Perancis pastinya menjadi satu lagi lembaran berharga yang akan dikenang sepanjang perjalanan seninya.