PERGINYA ketika bertugas. Kemalangan membabitkan sebuah van polis di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selata meragut nyawa Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26 pada 11.35 pagi Selasa.
Pemergian insan tersayang pastinya bukan sesuatu yang mudah diterima, apatah lagi apabila pasangan yang selama ini menjadi teman hidup pergi buat selama-lamanya ketika anak masih kecil.
Itulah dugaan yang perlu dilalui isteri Allahyarham, Nor Ilyanie Abd Aziz, 26.
Ditemui Sinar Harian di di Surau Ehsaniah, Kompleks Perumahan PDRM Tapah, Nor Ilyanie pilu mengenangkan pemergian suami tersayang yang sudah saling mengenali sejak zaman sekolah rendah.
Malah, sepanjang mengenali, Allahyaryam insan yang sangat baik serta tidak pernah mengabaikan kewajipannya kepada keluarga. Malah Muhammad Shahrul dikatakan sanggup berhenti belajar demi menjaga ibu.
"Arwah sangat-sangat baik. Dia tak pernah sekali pun cuba mengurangkan tanggungjawab sebagai seorang ayah dan juga sebagai seorang suami serta anak.
"Beliau boleh dikatakan seorang anak yang sangat baik menjaga ibunya. Sampai sanggup berhenti belajar untuk menjaga ibu beliau," katanya.
Bukan sahaja bertanggungjawab terhadap keluarga, Allahyarham juga seorang suami yang sentiasa mengambil berat tentang keperluan isterinya.
Ujar Nor Ilyanie, arwah sering bertanyakan keadaan dirinya dan tidak pernah culas meluangkan masa untuk menjaga kebajikannya.
"Dia selalu urut saya malam-malam. Jaga quality time untuk hidup saya," ujarnya.
Mengimbau rutin sebelum keluar bekerja, wanita itu berkata mereka terbiasa untuk bersalaman dan bercium selain Allahyarham sering bermaafan.
Perkara kecil yang dilakukan setiap hari itu kini menjadi antara kenangan yang sukar dilupakan.
Berkongsi mengenai pagi kejadian, isterinya memberitahu Allahyarham hanya meminta bekalan kopi.
"Kalau dia berjalan jauh demi tugas, saya akan bekalkan dia Nescafe. Pagi tadi memang saya buatkan Nescafe ais. Sebab selalunya memang dia minum Nescafe ais.
"Saya dah buat Nescafe ais namun apa yang diminta adalah Nescafe panas . Tak tahu kenapa pagi tadi dia nak Nescafe panas. Dia kata tak mengapalah kalau dah buat," tutur Nor Ilyanie dalam sebak.
Terdahulu, Allahyarham antara 11 anggota polis yang menaiki sebuah van jenis Maxus dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke IPK Melaka bagi urusan mengambil semula kenderaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu dipercayai berlaku selepas tayar belakang kiri van berkenaan pecah secara tiba-tiba sebelum pemandu hilang kawalan dan merempuh penghadang besi di tengah lebuh raya.
Akibat kejadian, beberapa penumpang tercampak keluar daripada kenderaan dan Muhammad Shahrul Alif disahkan meninggal dunia di lokasi.
Empat lagi anggota mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Slim River, manakala enam yang lain mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.
Sumber: Sinar Harian, 2, Bernama,