NAMANYA gah dalam industri muzik tempatan, malah kemunculan menerusi lagu Madah Berhelah pada awal 1990-an menjadi antara titik penting perjalanan seninya.
Lebih tiga dekad bergelar anak seni, Datuk Ziana Zain kekal mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat meskipun industri muzik terus berubah mengikut peredaran zaman.
Pemilik nama Siti Roziana Zain, 58, mengakui tiada rahsia luar biasa untuk terus bertahan, sebaliknya beliau melihat kerjaya seni sebagai satu amanah yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan.
Menariknya, penyanyi itu menyifatkan dirinya ibarat seorang kakak yang sentiasa menghiburkan adik-adiknya yang merujuk kepada peminat setia mengikuti perjalanan seninya.
Bagi pelantun lagu Setia Ku Di Sini dan Puncak Kasih itu melihat kerjaya seni bukan sekadar pekerjaan, tetapi satu kecintaan yang perlu dihargai.
"Saya tak ada rahsia. Saya bersyukur kerana kerja saya merupakan kecintaan saya.
"Saya sangat bersyukur dan sangat enjoy dengan kerja saya. Pertama, rezeki daripada ALLAH SWT. Kedua, saya buat kerja saya seikhlas yang saya boleh.
"Sebab bagi saya, saya ini ibarat kakak-kakak yang menghiburkan adik-adik. Di kala sunyi, di kala kesusahan, di kala kesenangan.
Ibu kepada empat cahaya mata itu juga mengakui bertuah kerana dikurniakan deretan lagu popular selain mendapat sokongan berterusan daripada pihak media dan peminat sepanjang perjalanan seninya.
Tidak hanya bergantung kepada karya-karya, Ziana turut menitikberatkan penampilan diri setiap kali menghadiri acara atau memenuhi undangan persembahan.
Malah, kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu tidak lokek mengeluarkan belanja lebih demi memastikan dirinya sentiasa tampil kemas dan menarik di hadapan khalayak.
"Setiap tahun, saya nak look yang terbaru untuk peminat saya. Saya sanggup keluar duit lebih untuk bersiap cantik.
"Saya memandang kerja saya ini sangat tinggi. Sebab anugerah yang ALLAH berikan kepada setiap orang itu tak sama. Bila ALLAH dah bagi, jagalah," ujarnya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai penjagaan suara, Ziana mengakui rehat menjadi antara perkara paling penting yang diberi perhatian.
Bagaimanapun, penyanyi itu berpandangan penghayatan ketika menyampaikan lagu juga memainkan peranan besar untuk memastikan mesej dan emosi sesebuah karya sampai kepada pendengar.
Menurutnya, pengalaman sepanjang berada dalam industri membuatkan beliau semakin memahami cara menyampaikan lagu dengan lebih berkesan.
"Yang paling penting rehat. Dan penghayatan terpaling penting. Dalam kita menyanyi itu, penghayatan terhadap lagu supaya sampai.
Buat Ziana, perjalanan seni yang panjang bukan sekadar tentang mempertahankan populariti, tetapi amanah untuk terus memberikan yang terbaik kepada mereka yang selama ini setia menyokongnya.
Ziana bakal bergabung tenaga dengan empat lagi bintang popular iaitu Datuk Amy Search, Siti Nordiana, Khai Bahar serta penyanyi tersohor dari negara jiran, Chakra Khan menerusi Konsert A Night of Soul.
Lebih istimewa, konsert berkenaan bakal membuka tirai dengan persembahan bakat baharu, Nabihah Aimi.
Dianjurkan oleh Starlika dan Astana Global, konsert berkenaan dijadual berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) pada 12 Disember depan.