'Saya menangis teresak-esak seperti bayi' – Melinda Looi sebak dengar sorakan buat Aina Abdul, dedah potong gaun penyanyi itu 30 minit sebelum persembahan

Iklan

SORAKAN penonton yang bergema di One Bangkok Forum, Thailand, menjadi antara detik paling bermakna buat pasukan yang mengiringi Aina Abdul sepanjang penyertaannya dalam Eurovision Song Contest Asia 2026.

Di sebalik kemeriahan persembahan wakil Malaysia itu, pereka fesyen terkenal, Melinda Looi, rupanya tidak mampu menahan air mata apabila mendengar penonton melaungkan nama Aina sebelum penyanyi berkenaan melangkah ke pentas.

Iklan
Iklan

Menerusi satu perkongsian video, Melinda mengakui momen tersebut cukup menyentuh perasaannya selepas menyaksikan sendiri segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh pasukan sepanjang pertandingan berlangsung.

"Saya terus menangis teresak-esak seperti bayi kerana terlalu bersyukur melihat kerja keras mereka,” luah Melinda.

Iklan

Bukan sekadar emosi yang perlu dikawal, persiapan busana Aina juga menguji kecekapan Melinda dan pasukannya apabila beberapa perubahan terpaksa dilakukan pada saat akhir.

Iklan

Menurut Melinda, keselesaan dan keyakinan Aina menjadi keutamaan memandangkan busana tersebut perlu disesuaikan dengan keperluan persembahan di pentas besar.

Malah, dia terpaksa melakukan pengubahsuaian secara tergesa-gesa, termasuk memotong sebahagian gaun berkenaan ketika berada di belakang pentas.

"Saya terpaksa memotong separuh daripada gaun itu di belakang pentas, tepat sebelum sesi latihan dan sekali lagi setengah jam sebelum persembahan akhir bermula,” jelasnya.

Pengalaman itu disifatkan Melinda sebagai antara perjalanan paling mencabar sepanjang penglibatannya dalam persiapan persembahan, apatah lagi apabila setiap perkara perlu diselaraskan dalam tempoh yang singkat.

Disiplin dan komitmen

Namun, di sebalik tekanan dan perubahan saat akhir, kerjasama erat seluruh pasukan menjadi kekuatan untuk mereka terus memberikan yang terbaik buat Aina.

"Saya sangat menghormati Aina dan bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, melihat sendiri perjuangannya serta bagaimana seluruh pasukan bekerjasama seperti sebuah keluarga,” kongsinya.

Dalam masa sama, Melinda turut melahirkan rasa kagum terhadap disiplin dan komitmen Aina sepanjang berada di Thailand.

Jadual penyanyi itu bukan sahaja dipenuhi sesi latihan dan pertukaran pakaian, malah turut merangkumi latihan vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat bagi memastikan persediaan persembahannya berjalan lancar.

Bagi Melinda, segala usaha tersebut membuktikan betapa besarnya komitmen Aina dalam membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Apa juga keputusan pertandingan, beliau tetap menganggap penyanyi itu sebagai juara, lebih-lebih lagi apabila peluang beraksi di pentas berprestij berkenaan membuka ruang untuk bakat Aina dikenali khalayak lebih luas.

“Kalah atau menang, dia tetap juara kami. Aina sudah melakukan yang terbaik dan seluruh dunia kini dapat melihat bakatnya,” titipnya lagi.

Pengalaman itu bukan sekadar meninggalkan kenangan manis buat Aina, malah menjadi bukti bahawa kejayaan sesebuah persembahan turut bergantung pada kerja keras individu di belakang tabir yang sanggup berkorban demi memastikan setiap detik di atas pentas berjalan sempurna.