PENYANYI Indonesia, Chakra Khan tidak gentar berdepan risiko kehilangan tawaran persembahan mahupun diboikot selepas tindakannya lantang menyuarakan pandangan mengenai isu yang membabitkan kepentingan masyarakat.
Mengakui sudah berdepan situasi pembatalan beberapa acara, pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman itu bagaimanapun tidak menganggap perkara berkenaan sebagai sesuatu yang boleh menggugat emosi dan mentalnya.
Menurut Chakra, dia memahami bahawa tidak semua pihak bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan, namun baginya menyuarakan perkara yang dianggap wajar bukan satu kesalahan.
“Memang saya sudah diboikot, tetapi tidak mengapa. Ada beberapa acara yang dibatalkan. Mungkin ada pihak yang kurang senang dengan pandangan saya.
“Saya tidak pernah menghukum mana-mana individu secara peribadi. Cuma, saya mahu meningkatkan kesedaran mengenai masyarakat yang terkesan dengan sesuatu isu,” katanya ketika ditemui SinarPlus.
Bercerita lanjut, Chakra mengakui ada pihak yang mengeluarkan pelbagai tuduhan termasuk mendakwa dirinya sengaja menumpang populariti sesuatu isu demi meraih perhatian.
Malah, penyanyi berusia 34 tahun itu turut berdepan kata-kata berbaur ancaman apabila ada pihak didakwa mahu menyebarkan maklumat peribadinya.
Bagaimanapun, perkara tersebut tidak membuatkan Chakra berasa gentar kerana percaya dirinya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dipegang.
“Kalau dari segi mental, saya tidak terkesan. Cuma, saya sedar ada perkara yang mungkin bertentangan dengan apa yang mereka lakukan.
“Jadi, biarkan sahaja. Saya tidak takut selagi tidak pernah menyuarakan sesuatu yang saya sendiri anggap salah. Saya juga tidak pernah menilai kehidupan peribadi sesiapa,” ujarnya.
Mengulas kemungkinan tindakan lantang itu menjejaskan periuk nasinya, Chakra tidak menafikan ada beberapa tawaran persembahan yang dibatalkan.
Namun, dia tidak melihat perkara itu sebagai pengakhiran perjalanan seninya, malah bersedia untuk kembali bermula dari bawah sekiranya keadaan memerlukan.
“Saya boleh kembali menyanyi di kafe. Saya bermula dari kosong, menyanyi di kafe dan membina kerjaya dari bawah. Jadi, bagi saya tiada masalah selagi masih boleh menyanyi.
Dalam pada itu, Chakra menegaskan dirinya tidak akan sewenang-wenangnya memberikan komen terhadap semua perkara, sebaliknya hanya menyentuh isu umum yang dirasakan mempunyai kepentingan kepada masyarakat.
Katanya, sebagai sebahagian daripada rakyat Indonesia, dia juga mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan berharap masyarakat dapat terus memupuk empati antara satu sama lain.
“Sudah tentu saya akan terus bersuara mengenai perkara yang saya rasa perlu. Bukan semua perkara akan saya komen kerana ada juga perkara yang saya tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
“Namun, kita semua perlu ada empati. Ketika ini ramai rakyat Indonesia terkesan dengan bencana. Jadi, kita perlu saling membantu dan memberikan semangat antara satu sama lain,” katanya.
Chakra ditemui SinarPlus pada sidang media konsert A Night of Soul yang bakal menyaksikan diva ini berkongsi pentas dengan empat lagi bintang popular iaitu Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Siti Nordiana dan bakat baharu, Nabihah Aimi.
Dianjurkan oleh Starlika dan Astana Global, konsert berkenaan dijadual berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) pada 12 Disember depan